
Liputan/foto: Zaharah Ismail/Muhammad Zulhaiqal Shaidin (WPKL)
KUALA LUMPUR, 7 Jun (Malaysiaaktif) – Kira-kira 1,000 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah menerima suntikan vaksin COVID-19 menerusi Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah, di sini.
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, berkata pelaksanaan projek rintis tersebut merupakan sebahagian daripada tujuh inisiatif Wilayah Cakna 5.0 yang diperkenalkan kepada warga Wilayah.
“Pelaksanaan program ini bagi memastikan sasaran 80 peratus warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selesai divaksinasi pada penghujung Ogos depan.
“Diharapkan dengan adanya trak vaksin bergerak ini, penduduk Wilayah akan mendapat akses untuk menerima vaksin COVID-19 dengan lebih pantas dan seterusnya mengekang penularan pandemik dalam kalangan komuniti,” katanya ketika ditemui sewaktu menghadiri program tersebut, hari ini.

Annuar Musa (bertopi) beramah mesra bersama bakal penerima vaksin semasa Program Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MYMedic@Wilayah.
Jelas beliau lagi, program vaksinasi tersebut mensasarkan keseluruhan penduduk PPR dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dijadual akan selesai sepenuhnya pada Oktober nanti.
“Sebanyak dua unit trak MYMedic@Wilayah digunakan bagi tujuan tersebut dengan setiap trak berupaya memberikan 500 dos suntikan vaksin kepada orang ramai pada satu-satu masa.
“Proses pemberian vaksin yang bermula pukul 9 pagi sehingga 4 petang itu turut memberikan keutamaan kepada golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang sudah mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
-ZS