
Laporan/foto: Suzilawati Kamarudin (Seremban)
SEREMBAN, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang dikenakan kepada seluruh rakyat Malaysia sejak 1 Jun lalu adalah antara usaha kerajaan bagi menyekat penularan wabak COVID-19 di samping menyokong Sistem Kesihatan Malaysia daripada mengalami bebanan yang tinggi berikutan peningkatan kes harian jangkitan COVID-19.
Sokongan rakyat terhadap usaha ini amat diperlukan biarpun ada yang terkesan dengan pengurangan pendapatan isi rumah, tetapi demi kepentingan kesihatan yang tidak boleh ditolak ansur rakyat terus akur dengan arahan kerajaan.
Nor Fazli Abdul Manan ketika ditemu bual memaklumkan, sejak PKP Penuh dilaksanakan, beliau yang merupakan seorang juruteknik dalam industri penerbangan tidak lagi boleh hadir bekerja seperti biasa dan arahan majikan itu juga menyebabkan banyak elaunnya dipotong.
“Saya tidak boleh mengalah dan masih perlu membayar komitmen bulanan, tambahan pula isteri baru melahirkan anak ketiga dan saya mengambil upah sebagai penghantar barang di sekitar Seremban pada hari-hari yang saya dicutikan” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini semalam.
Sementara itu, Nur fazlin Kamal menceritakan kisahnya yang bekerja dalam sebuah pasar raya besar merasa janggal kerana suasana kerja dahulu perlu berinteraksi dengan ramai pelanggan tetapi sejak dua tahun ini semuanya berubah kerana pandemik COVID-19.
“Kehidupan pada hari ini mesti diteruskan walau terlibat dengan pemotongan gaji dan walaupun masih bujang saya sentiasa mahu menyenangkan orang tua saya, tetapi apabila diuji sebegini saya kena terima,” ujarnya.
Kecekalan mengharungi kehidupan harian dalam norma baharu ini turut dirasai oleh Nur Afiqah Zulkifli, 30, yang bekerja sebagai guru di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.
“Taska ini terasa sunyi berbanding dahulu yang meriah dengan bilangan kanak-kanak yang ramai kerana kami hanya menerima anak-anak petugas barisan hadapan serta pekerja sektor perlu sahaja,” ujar Afiqah.