
Laporan/foto: Muhammad Naim/Siti Zuraida (Jempol)
JEMPOL, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Dua lagi Dewan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di daerah ini bagi memudahkan proses vaksinasi dijalankan.
Dewan PPV awam baru yang dibuka ialah di Dewan Majlis Perbandaran Jempol (Bahau) dan Dewan Kompleks Sukan, Felda Palong 6 (Palong) dan ini menjadikan jumlah keseluruhan PPV awam di Jempol berada di tiga lokasi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan bencana daerah Jempol Nawal Mohamed Amin, dengan pembukaan dua PPV baharu semua klinik kesihatan yang terlibat dalam pemberian vaksin sebelum ini akan ditutup.
“Sebelum ini hanya satu Dewan PPV awam telah beroperasi dan sebanyak empat klinik kesihatan dan empat klinik swasta turut dibuka sebagai pusat pemberian vaksin dan dengan pembukaan dua PPV baharu ini, perkhidmatan pemberian vaksin di semua klinik kesihatan terlibat sebelum ini akan ditutup.
“Penutupan klinik tersebut adalah bagi memberi fokus kepada tiga PPV utama dan program PPV Bergerak yang telah dirancang namun pemberian vaksin di klinik swasta yang terlibat masih berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui di PPV tersebut, di sini semalam.
Tambah Nawal, masih ramai lagi yang tidak mendaftar kerana kemungkinan sesetengah masyarakat yang tidak mempunyai telefon pintar, pencapaian internet di sesetengah kawasan yang sangat lemah dan ketika inilah agensi kerajaan serta badan-badan NGO harus memainkan peranan penting bagi memudahkan urusan pendaftaran vaksin terutamanya bagi mukim Jelai dan Rompin.
“Jawatankuasa pada masa yang sama sentiasa mengingatkan komuniti dan masyarakat sekeliling agar mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan berita palsu atau tidak benar berkaitan vaksin,” ujarnya lagi.
-FF