
Laporan/foto: Fasharina Kholil/Mohd Tarmizi (Sik)
SIK, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak 53 beg darah berjaya dikumpul oleh Unit Tranfusi Tabung Darah, Hospital Sik menerusi Kempen Derma Darah yang dijalankan di Kompleks PAS Sungai Pau.
Pengarah Hospital Sik Dr Aniza Ahmat, berkata walaupun dalam keadaan pergerakan terbatas kerana Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP), ia tidak menghalang para penderma darah untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
“Penularan COVID-19 dan pelaksanaan PKP telah menyebabkan beberapa program derma darah di tempat-tempat awam dihadkan sekali gus menyebabkan jumlah penderma juga berkurangan, sedangkan bekalan darah diperlukan setiap hari untuk merawat pesakit serta membantu mengekalkan bekalan darah di tahap yang selamat.
“Penderma darah ibarat wira yang tidak didendang kerana merekalah perwira yang bersedia menderma darah pada bila-bila masa yang memerlukan dan semoga ia diterima sebagai amal jariah yang berterusan.
“Kesedaran menderma darah dalam kalangan masyarakat perlu dilakukan secara berterusan bukan sahaja bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan darah di hospital, bahkan dalam masa yang sama turut membantu menyelamatkan nyawa orang lain,” jelasnya ketika dihubungi di Hospital Sik, di sini, semalam.
Menurut Dr. Aniza, kempen yang dijalankan secara bersepadu dengan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Sik ini dapat diadakan secara berkala bagi memenuhi keperluan bekalan darah yang sering berkurangan sejak pandemik melanda.
“Saya juga berharap lebih ramai tampil untuk menderma darah samada di Unit Tabung Darah hospital pada setiap hari bekerja ataupun ketika ‘mobile blood bank’ diadakan di lokasi-lokasi terpilih,” ujarnya.
~RJ~