
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)
BATU KURAU, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Pelbagai agensi dari jabatan kerajaan terus turun padang menerusi Program Outreach Vaksinasi COVID-19 bagi membantu masyarakat yang mengalami kesukaran untuk mendaftar dan menerima suntikan vaksin berikutan kekangan yang dialami oleh penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata program ini merupakan satu inisiatif dari Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Batu Kurau untuk membantu golongan yang mengalami kekangan untuk mendaftar suntikan vaksin COVID-19.
“Usaha ini sedikit sebanyak membantu masyarakat setempat untuk mendaftar secara terus tanpa perlu ke klinik kesihatan berhampiran bagi tujuan pendaftaran vaksinasi.

ADUN Batu Kurau bersama Pegawai Daerah LMS ketika sesi taklimat mengenai Program Outreach di Arena Batu Kurau.
“Terdapat 22 kumpulan daripada pelbagai agensi kerajaan telah turun padang ke kampung-kampung yang telah ditetapkan bagi membantu penduduk mendaftar,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Repoh, di sini hari ini.
Tambahnya, antara agensi yang terlibat dalam program hari ini termasuklah Pejabat Penerangan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Pejabat Penghulu Mukim Batu Kurau dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Saya berharap semua penduduk di sekitar Batu Kurau mendaftar dan menerima suntikan vaksin berkenaan bagi perlindungan diri seterusnya mengelakkan jangkitan terutama kepada golongan kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas dan warga emas.

Penduduk setempat yang tinggal di sekitar Kampung Repoh sedang menunggu giliran untuk mendaftar vaksin COVID-19.
“Jika ada keperluan yang memerlukan untuk kita bekerja keras supaya kerajaan dapat mencapai imuniti kelompok 80%, kita mencadangkan agar melaksanakan pusat vaksin bergerak ke kawasan Batu Kurau”, ujarnya.
~RJ~