
Laporan/foto: Ezzaty Razimi/Latifah Salleh (Muar)
MUAR, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,000 kotak makanan telah diedarkan kepada para penduduk kawasan Pagoh yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, bantuan yang disalurkan menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) ini secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat wabak ini.
“Sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin ini bukan sahaja diberikan kepada para penduduk setempat, malah para petugas barisan hadapan termasuk yang bertugas di PPV Kompleks Sukan Pagoh juga turut menerima kotak makanan yang berupa barangan keperluan seperti beras, tepung, gula serta produk-produk makanan berasaskan nanas,” katanya ketika ditemui pada Program Penyampaian Sumbangan MAFI Prihatin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Pagoh, di sini semalam
Tambah beliau, usaha kerajaan untuk melandaikan lekuk penularan COVID-19 ini melalui pelan pemulihan secara berperingkat diharapkan dapat membantu mencapai matlamat imuniti kelompok bagi vaksinasi penyakit bawaan virus COVID-19 melalui Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19.
“Adalah amat penting untuk negara mencapai imuniti kelompok kerana ia bukan hanya melindungi diri mereka yang divaksin, tetapi juga orang di sekitar mereka,” ujarnya.
Seorang warga emas yang ditemui, Musirah Wasiman, 73, berkata beliau telah selesai menerima dua dos suntikan vaksin.
“Saya menyokong usaha kerajaan memberikan vaksin ini secara percuma kepada setiap rakyat tanpa mengira perbezaan dan bagi saya tiada apa yang perlu ditakutkan untuk mengambilnya.
“Walaupun menghidap penyakit jantung, saya telah mendapatkan pandangan dan nasihat doktor sebelum membuat keputusan untuk mengambil suntikan vaksin ini,” ujarnya.
-NI-