
Laporan/foto: Mawarni Ismail/Alif Hamid (Daerah Barat Daya)
ANJUNG INDAH, 3 Jun (Malaysiaaktif) – Kira-kira empat sekatan jalan raya (SJR) di daerah Barat Daya telah didirikan di lokasi berbeza setiap hari bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dipatuhi penduduk di sini.
Tinjauan Malaysia Aktif di SJR di laluan utama keluar masuk sempadan daerah di Jalan Tun Sardon mendapati keadaaan trafik dilihat lancar dan terkawal.
Penyelia SJR 3 Anjung Indah IPD Barat Daya Ins. Muhammad Fadle Muhamad Saleh, berkata pada hari pertama jumlah kenderaan di SJR sini adalah sama seperti sebelum kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan.

Pihak Jabatan Penerangan (JaPen) Pulau Pinang turut membuat hebahan pematuhan SOP kepada penduduk setempat.
“Akan tetapi pada hari ini jumlah tersebut sangat ketara penurunannya menunjukkan rakyat mula faham dan patuh pada SOP yang telah kerajaan tetapkan.
“Mereka mematuhi setiap peraturan dan arahan kerajaan dengan tidak keluar meninggalkan kediaman mereka dan juga tidak melakukan rentas daerah,” katanya ketika ditanya mengenai penguatkuasaan pematuhan SOP PKP terkini.
Katanya lagi, penumpang dalam kenderaan telah patuh kepada SOP iaitu kapasiti kenderaan, hanya dua orang isi rumah sahaja untuk keluar membeli barangan keperluan, meninggalkan rumah bagi tujuan pekerjaan dan perjalanan melebihi 10km tidak dibenarkan.
Fadle berkata besar harapan beliau serta rakan-rakan petugas hadapan agar masyarakat patuh pada arahan yang telah dikeluarkan bagi bersama-sama membantu kerajaan mengekang penularan COVID-19 khususnya masyarakat di daerah Barat Daya sendiri.
“Empat SJR didirikan di daerah Barat Daya iaitu di Anjung Indah, Sg. Nibong (Caltex), Batu Maung (Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu) dan Sg. Batu yang menempatkan 8 anggota (5 PDRM, 2 ATM & 1 RELA) pada satu-satu masa dan bertugas mengikut giliran bagi memastikan inisiatif menangani pandemik ini membuahkan hasil,” katanya.
-ii