
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Ali Imran Johari (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Wujud kebimbangan terhadap kenaikan harga barangan terutamanya minyak masak dan bekalan makanan mentah sejak pandemik COVID-19 melanda negara.
Situasi seperti ini sedikit berbeza berbanding tahun lalu sekali gus, membebankan pengguna terutamanya setelah pelaksanaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 awal bulan ini.
Pengguna, Nor Hazimah Shamsusah, 26, berkata harga minyak masak botol lima kilogram naik sehingga RM7 sebotol berbanding harga sebelum ini iaitu antara RM25 hingga RM33 bergantung kepada jenama.
“Harga minyak masak naik secara mendadak sejak pelaksanaan PKP 3.0, selain kekurangan bekalan minyak paket bersubsidi,” katanya ketika ditemuramah ketika membeli barangan keperluan di sebuah kedai runcit, di sini baru-baru ini.

Nor Hazimah merasakan kenaikan harga minyak dan barangan asas yang lain akan memberi tekanan kepada isi rumah yang berpendapatan rendah.
“Sebelum ini harga minyak masak botol lima kilogram adalah antara RM25 hingga RM27, namun tidak sampai sebulan minyak masak berkenaan naik secara drastik sehingga mencecah harga RM33,” katanya dengan nada kesal.
Sementara itu, bagi peniaga kedai runcit, Alinudin Muda, 58, berkata sebagai usahawan kecil dengan membuka kedai runcit kecil-kecilan di situ beliau merasakan kenaikan harga minyak masak dan barangan asas yang lain perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan ketika ini.
“Sebagai peniaga, saya juga sentiasa mendengar keluhan dan rungutan para pelanggan apabila kenaikan harga minyak masak dan barangan keperluan lain ketika ini.

Alinudin Muda mengharapkan pihak yang telibat mengambil serius mengenai kenaikan harga minyak masak yang kini semakin ketara di pasaran.
“Minyak masak adalah satu keperluan kepada pengguna untuk memasak di rumah dan kenaikan harga ini menjadi satu bebanan kepada mereka dan apabila harga minyak mentah mengalami kenaikan, barangan harian lain juga mengalami perkara yang sama ketika ini,” katanya.
Wan Nur Talbiah Wan Muhammad Nawi, 51, berkata beliau yang merupakan seorang suri rumah begitu terkesan apabila kebanyakan barangan asas mengalami kenaikan harga sejak belakangan ini.
“Saya sangat terkejut dengan kenaikan mendadak, harga minyak masak botol lima kilogram berbanding sebelum ini dan dalam masa sama penggunaan minyak masak pada setiap bulan juga bertambah disebabkan mempunyai anak ramai dan setiap hari perlu memasak untuk mereka.
Tambahnya, bukan sahaja harga minyak masak semakin mahal tetapi haga barangan harian seperti ikan, sayur, ayam dan barangan serta keperluan harian yang lain juga semakin naik.
“Situasi ini akan memberi tekanan kepada isi rumah yang berpendapatan rendah seperti kami.
“Keperluan asas tidak sepatutnya berlaku kenaikan harga kerana ketika ini ramai yang terjejas pendapatan disebabkan PKP, ia seolah-olah ada pihak yang mengambil kesempatan ketika orang ramai ditimpa kesusahan,” katanya.
-ii-