
Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Kuantan)
KUANTAN, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri telah meluluskan tanah seluas 7.014 hektar sebagai tambahan rizab penempatan Orang Asli Suku Bateq Kampung Bechah Kelubi Lipis, di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah meluluskan tambahan rizab penempatan masyarakat Orang Asli Suku Bateq Kampung Bechah Kelubi bagi melindungi tanah masyarakat berkenaan.
“Kelulusan dibuat di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) susulan permohonan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Lipis.
“Saya berharap keputusan kerajaan negeri ini akan memberi kelegaan kepada masyarakat Orang Asli suku Bateq Kampung Bechah Kelubi dan seterusnya mereka dapat meneruskan kehidupan harian dalam keadaan yang selesa,” menurut kenyataan itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan yang dipohon merupakan penempatan 163 Orang Asli Bechah Kelubi yang sudah lama menetap di situ melibatkan kawasan seluas dua hektar yang telah didirikan 20 buah rumah dengan bantuan kerajaan, serta turut diusahakan tanaman dusun dan pokok getah.
“Dengan keputusan ini dijangka dapat mencegah aktiviti penerokaan secara haram oleh pihak luar di kawasan penempatan Orang Asli suku Bateq ini,” katanya.
-AH-