
PUTRAJAYA, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Jumlah individu yang mendapatkan khidmat bantuan bagi pendaftaran vaksin COVID-19 di 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) seluruh negara mencatat rekod seramai 15,327 orang setakat 20 Jun lepas.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia adalah hasil inisiatif agensi itu dalam meningkatkan tahap kesedaran dan menggalakkan pendaftaran vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Inisiatif yang dilaksanakan SKMM secara berterusan ini dilihat memberi impak positif kepada rakyat Malaysia dalam menyebarkan mesej pendaftaran dan kepentingan mendapatkan vaksin.
“Untuk itu, SKMM akan berterusan mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi menggerakkan PICK menerusi hebahan media massa bagi memupuk kesedaran orang ramai tentang kepentingan vaksin,” menurut kenyataan itu.
SKMM memaklumkan PIK digerakkan bagi membantu orang awam terutama warga emas yang menghadapi kesukaran mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera serta tidak mempunyai liputan Internet memuaskan.
Selain itu, sebanyak 71,871 Pesanan Khidmat Awam atau hebahan disiarkan pihak penyiaran televisyen, radio swasta, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kepada orang awam sepanjang Mac sehingga Mei lepas.
Menurut kenyataan itu, jalinan kerjasama SKMM dan Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) selaku pusat tumpuan utama turut membolehkan bahan serta pesanan penting kerajaan disampaikan kepada pihak penyiaran televisyen dan radio swasta.
Selain itu, SKMM memaklumkan 21 jenis hebahan berkaitan vaksinasi dihantar kepada 44 juta pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
SKMM turut bekerjasama dengan pihak lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan 14 penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam menyampaikan mesej kesedaran berkaitan vaksinasi menerusi SMS dan platform media sosial secara meluas ke seluruh negara.
— BERNAMA