Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Bank Makanan Pandu Lalu Bantu Keluarga Murid Tidak Berkemampuan

By 25 Jun 2021Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Shahril Alias (Port Dickson)

PORT DICKSON, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Bantuan keperluan harian diedarkan secara pandu lalu di empat buah sekolah kepada keluarga pelajar yang terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang Datuk Tun Hairuddin Abu Bakar, inisiatif menyalurkan sumbangan kepada keluarga pelajar yang terjejas ini diambil berikutan terdapat maklum balas diterima daripada guru yang menyatakan terdapat pelajar yang sukar untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

“Mereka perlu dibantu agar tidak ketinggalan dalam pelajaran dan apabila diselidik keluarga pelajar ini adalah antara mereka yang terjejas dari segi pendapatan dan kehilangan pekerjaan dalam tempoh PKP.

“Kita tidak mahu pelajar ini terganggu, jadi asasnya keluarga mereka perlu dibantu agar anak-anak mereka lebih selesa berada di rumah dan dapat mengikut kelas dengan sempurna manakala bantuan dapat disalurkan secara bersasar,” katanya ketika Pelancaran Foodbank di Sekolah Kebangsaan (SK) Si Rusa, di sini kelmarin.

Penyerahan bantuan di hadapan sekolah Sekolah Kebangsaan Si Rusa.

Penyerahan bantuan di hadapan sekolah SK Si Rusa.

Tambah Hairuddin, bantuan ini akan diteruskan, namun cara agihan bantuan adalah berlainan antara sekolah mengikut keadaan dan keperluan semasa.

“Inisiatif ini merupakan kerjasama Pusat Khidmat Dun Bagan Pinang, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta pihak sekolah sendiri.

“Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Intan Perdana, Sekolah Kebangsaan Panglima Adnan, Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Si Rusa dan Sekolah Kebangsaan Si Rusa,” katanya.

-FF

Tinggalkan komen anda