Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Masyarakat Luar Bandar Sedar Kepentingan Vaksinasi COVID-19

By 30 Jun 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)

KIULU, 30 Jun (Malaysiaaktif) – Masyarakat luar bandar kini semakin sedar kepentingan mendapatkan vaksinasi COVID-19 untuk melindungi diri.

Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai, berkata ramai masyarakat kini semakin sedar kepentingan vaksin dan apa yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial adalah tidak benar.

“Difahamkan sambutan program hari ini amat memberangsangkan apabila hampir 600 orang daripada 17 buah kampung hadir untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19.

“Program khidmat bantuan yang dikendalikan Badan Bertindak COVID-19 Kebangsaan (CITF) Sabah ini adalah satu usaha yang amat baik bagi memberi kemudahan kepada penduduk yang berada di kawasan yang jauh dan terpencil untuk mendapatkan vaksinasi.

“Di Kiulu ini kita mempunyai lebih 50 ribu penduduk dengan lebih 100 buah kampung apabila ada di antara kampung yang agak terpencil dan program sebegini memudahkan penduduk yang tiada kenderaan serta liputan jalur lebar untuk memperolehi suntikan vaksin ini,” katanya ketika ditemui pada program CITF Daftar dan Vaksin di Kampung (Kg.) Pahu, di sini kelmarin.

Regina Solumin gembira terpilih sebagai penerima dos pertama vaksin COVID-19 di Dewan Kg, Pahu.

Regina Solumin gembira terpilih sebagai penerima dos pertama vaksin COVID-19 di Dewan Kg. Pahu.

Salah seorang belia dari kampung tersebut, Regina Solumin, 20, meluahkan perasaan gembira kerana telah menerima dos pertama vaksin jenis Sinovac pada program tersebut.

“Apabila dimaklumkan oleh ketua kampung bahawa saya antara penerima vaksin pada program ini saya terus mempersiapkan diri secara fizikal dan mental.

“Sebelum hadir ke program ini, saya dapatkan maklumat melalui Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia tentang apa yang perlu dibawa ke pusat vaksinasi serta persediaan awal diri sebelum hadir ke sini.

“Syukur segala proses pendaftaran dan suntikan berjalan dengan teratur dan lancar pada hari ini,” jelas Regina.

Fenny Michael... Nasihatnya paling penting bawa kad pengenalan sebelum hadir ke pusat vaksinasi.

Fenny Michael menasihati penerima vaksin untuk bersedia dengan kad pengenalan sebelum hadir ke pusat vaksinasi.

Senada dengan beliau, Fenny Michael, 23, dari Kg. Sinulihan meluahkan kegembiraan dan bersyukur kerana namanya tersenarai pada program vaksinasi yang memang amat ditunggu-tunggunya selama ini.

Menurut Fenny, selepas mengetahui lawatan program CITF itu melalui aplikasi kumpulan WhatsApp kampungnya, beliau mula membuat persediaan sebelum hari vaksinasi.

“Sebelum hadir ke Dewan Kg. Pahu, saya mempersiapkan diri dengan mengambil sarapan, minum banyak air suam serta memperolehi tidur secukupnya pada hari sebelumnya.

“Selain daripada itu, yang paling penting adalah untuk membawa kad pengenalan, pen, pensanitasi tangan, topeng hidung dan mulut serta memakai pakaian yang sesuai mengikut saranan dari laman rasmi Majlis Keselamatan Negara sebagai persediaan untuk memudahkan proses pendaftaran dan suntikan vaksin pada hari ini.

“Syukur, persediaan ini banyak memudahkan dan melancarkan proses vaksinasi pada pagi ini,” jelas beliau.

Katanya, program CITF ini amat baik kerana memudahkan penduduk kampung terutama golongan warga emas untuk mendapatkan vaksin dan turut merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan melalui agensi yang terlibat kerana prihatin terhadap penduduk luar bandar terutama di kawasan Kiulu ini.

-RI

Tinggalkan komen anda