
Foto: Facebook OKU Sentral
PUTRAJAYA, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Semua warga Orang Kurang Upaya (OKU) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur disaran supaya mendaftar dengan Program Vaksinasi OKU dan Penjaga OKU bagi membolehkan mereka menerima suntikan vaksin COVID-19.
Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata program itu dirangka bersama oleh pihaknya dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (?MOSTI).
“Saya menyarankan agar kalian mengambil peluang ini yang merupakan pendekatan dan kaedah baharu dalam mengambil kira keperluan warga OKU di negara ini.
“Nantikan pengumuman Menteri MOSTI (Khairy Jamaluddin) dalam waktu terdekat ini, jangan lupa daftar menggunakan ‘Google Form yang disediakan’,” kata beliau yang juga Pengerusi Bernama menerusi satu klip video ringkas hari ini.
Sebelum ini, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan memberi jaminan kepada masyarakat OKU bahawa mereka yang berada di pusat tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetap layak untuk menerima vaksin.
Borang itu yang diisi secara dalam talian, mempelawa semua OKU berumur 18 tahun ke atas sama ada berdaftar atau tidak berdaftar dengan JKM untuk mendaftarkan diri secara sukarela dalam Program Vaksinasi OKU dan Penjaga OKU.
Segala maklumat yang dikumpul melalui borang tersebut akan diserah kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi tindakan selanjutnya.
Makluman pada borang itu juga menyatakan ketetapan berkaitan program vaksinasi yang bakal diadakan di Sime Darby Plantation Berhad, Ara Damansara akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
— BERNAMA