
Laporan/foto: Masitah Mat Zin/Sharifuddin Saiedin (Seremban)
SEREMBAN, 11 Jun (Malaysiaaktif) – Dalam usaha untuk mengekang dan memutuskan rangkaian penularan COVID-19 di Nilai dan khususnya di negara ini, agensi penguatkuasaan perlu bekerjasama untuk memastikan prosedur operasi standard (?SOP) semasa PKP adalah dipatuhi oleh semua sektor.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, sasaran pada kali ini melibatkan tiga premis perindustrian yang diserbu pihaknya selepas membuat risikan teliti dan menerima aduan mengenai status operasi premis-premis berkenaan dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
“Hasil pemeriksaan teliti kami ke atas kilang pengeluaran papan iklan mendapati gagal mematuhi Sistem Pengurusan Pintar COVID-19 (CIMS) yang ditetapkan MITI apabila beroperasi bukan dibawah sektor perkhidmatan penting yang dibenarkan dan maklumat yang dinyatakan dalam CIMS tidak bertepatan berdasarkan pemeriksaan di lapangan.
“MITI telah mengeluarkan notis penutupan operasi kilang itu berkuatkuasa serta merta dan mereka diberi masa dua jam untuk melaksanakan arahan penutupan operasi itu dan turut didenda RM50,000 atas kesalahan itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, di sini kelmarin.
Operasi tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan, Majlis Bandaraya Seremban serta Pejabat Penerangan Daerah Seremban yang melibatkan seramai 105 pegawai dan anggota.

Ketua Polis Nilai, Supt Mohd Fazley Ab Rahman sedang menyampaikan taklimat sebelum OP Bersepadu dilakukan.
Menurut Mohd Fazley, terdapat pihak kilang yang didakwa membuat pengisytiharan dalam permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai perkhidmatan penting atas nama produk Kluster Pembuatan (Selain Daripada Aeroangkasa dan Automotif) Sektor Mesin dan Peralatan.
“Sebuah kilang terlibat operasi kitar semula turut dikompaun selepas membenarkan tenaga kerja melebihi kapasiti 60 peratus seperti disyaratkan kerajaan,” katanya.
Fazley berkata, notis penutupan telah ditampal oleh MITI di pejabat kilang itu berkuatkuasa semalam hingga 14 Jun ini.
“Dalam satu lagi serbuan di kilang kitar semula di kawasan sama, arahan penutupan serta merta hingga 16 Jun ini dikeluarkan oleh MITI kerana dikesan melakukan kesalahan membenarkan tenaga kerja melebihi kapasiti 60 peratus seperti ditetapkan kerajaan dan sepanjang tempoh PKP Penuh 3.0.
“Premis juga dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan gagal memastikan hanya individu berisiko rendah dibenarkan dalam premis dan selain pekerja tidak mengimbas kod QR MySejahtera.
“Pihak berkuasa akan mempertingkat strategi dan pemeriksaan mengejut seperti ini ke atas kilang perindustrian pada masa akan datang untuk memastikan pihak majikan mengambil serius tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa,” katanya.
-FF