Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Pais Tegup Makanan Tradisional Melanau

By 23 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan Drahman (Sarawak)

MATU, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Pais tegup adalah makanan tradisi masyarakat Melanau Matu yang jarang diketengahkan berbanding dengan makanan popular yang lain seperti sagu dan tebaloi.

Menurut pengusaha pais tegup tempatan, Hawa Ali, 51, tegup yang diperbuat daripada bahan semula jadi seperti pokok rumbia yang kemudiannnya diproses menjadi tepung sei atau tepung sagu adalah antara makanan tradisi yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan tempatan.

“Makanan ini memang jarang dijumpai sekarang atas faktor kekurangan bahan mentah seperti tepung sei dari pokok rumbia.

“Tegup ini merupakan makanan bermusim kerana ia bergantung dengan hasil pokok rumbia yang tumbuh secara semulajadi di kampung ini,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau di Kampung Tian, di sini baru-baru ini.

Pais tegup yang sudah masak.

Pais tegup yang sudah masak.

Menurut Hawa, walaupun bahan utamanya sukar untuk diperolehi di Matu, beliau akan membeli tepung sei atau sagu di pasar kering Mukah untuk memastikan generasi yang baru tahu tentang makanan tersebut.

“Pada zaman dahulu, makanan ini unik kerana cara memasaknya hanya diletakkan di atas sekeping kulit pokok rumbia dan dimasukkan ke dalam lubang belanga dengan api yang besar.

“Bahan-bahan lain yang digunakan untuk membuat makanan ini ialah kacang tanah, dan sedikit garam dan boleh tambah gula apong ke dalam adunan tegup mengikut selera masing-masing,” katanya.

Tegup yang telah selesai diadun, diuli memanjang seperti keropok lekor, untuk memastikan tegup sudah masak sepenuhnya, kulit pokok rumbia akan di tarik keluar dari lubang belanga.

Pais teguh yang dibentuk seperti keropok lekor ini sudah masak dan sedap dimakan ketika masih panas

Pais teguh yang dibentuk seperti keropok lekor ini sudah masak dan sedap dimakan ketika masih panas.

“Sekiranya bentuk tegup itu mula merekah, ianya menunjukkan bahawa tegup telah masak, tegup yang mentah akan dimasukkan ke dalam daun nipah untuk mengelakkan tegup daripada hangus, jika menggunakan dapur kayu kita harus pandai mengawal api.

“Tegup sedap dimakan semasa masih panas kerana tegup akan menjadi keras semasa sejuk malah kalau gigi yang tak kuat jangan cuba nak makan masa sejuk,” gurau Hawa.

Mengakhiri temu bual, Hawa menaruh harapan kepada generasi yang baru untuk mengetengahkan makanan tradisi ini kepada masyarakat luar kerana cara membuat teguh ini agak mudah dan ringkas.

-ZS-

Tinggalkan komen anda