Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Institusi Kewangan Perlu Kreatif Bangunkan Penyelesaian Baharu, Inovatif

By 23 Jun 2021Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Bank Negara

PUTRAJAYA, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Kalangan institusi kewangan perlu kreatif bagi membangunkan kaedah penyelesaian baharu dan inovatif untuk membiayai projek-projek mampan berikutan cabaran semasa yang dihadapi oleh perniagaan serta individu.

Ketika menegaskan perkara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ini penting kerana adalah tidak memadai bagi institusi kewangan untuk hanya memanfaatkan instrumen tradisional dalam memenuhi keperluan pembiayaan berkaitan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama di Persidangan Utama Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) 2021 bertemakan ‘Finance For Change’ secara maya di sini, pada Rabu.

“Sebagai contoh, (pendekatan) gabungan pembiayaan adalah pilihan berdaya maju untuk perniagaan yang bergelut dengan impak perubahan iklim serta mengalami kerugian akibat pandemik ini.

“Tindakan menggabungkan pembiayaan konsesi dan komersial seperti gabungan dana sumbangan atau instrumen kewangan sosial dan pinjaman tradisional — menggabungkan pendekatan kewangan dapat mengelak bebanan hutang yang boleh meningkatkan risiko masa depan,” katanya.

Nor Shamsiah berkata sektor kewangan juga perlu lebih menumpukan dalam usaha membiayai inisiatif mampan serta insentif pelaburan bagi sektor berkarbon rendah.

Menurutnya, terdapat banyak peluang seperti projek-projek di bawah kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA); pelan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) untuk menjadikan negara ini sebagai hab ekonomi hijau, perkhidmatan dan teknologi serta Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

“Institusi kewangan juga berpeluang besar untuk menyokong aspek pemulihan hijau susulan pandemik ini menerusi penyediaan pembiayaan peralihan yang berkaitan amalan mampan.

“Perubahan iklim tidak hanya sekadar isu saintifik. Ia merupakan isu perniagaan dan sosial yang tidak dapat dipisahkan daripada tanggung jawab asas insitusi kewangan menguruskan risiko secara berhemat, bertindak secara bertanggungjawab terhadap pelanggan selain mewujudkan nilai jangka panjang,” katanya.

Nor Shamsiah berkata pembentukan JC3 pada 2019 oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti dengan kerjasama pihak industri yang berperanan sebagai tumpuan utama tindakan iklim secara kolektif dalam sektor kewangan serta merentasi pelbagai pihak berkepentingan.

Malah, sejajar dengan tindakan konsisten membabitkan isu-isu perubahan iklim, BNM akan memberi tumpuan dengan mengutamakan pengawalseliaan dan penyeliaan dalam masa terdekat untuk menggalakkan sistem kewangan yang berdaya tahan terhadap iklim, kata beliau.

“BNM dalam proses meninjau pelbagai pilihan untuk menggalakkan pendekatan pengurusan risiko lebih baik oleh institusi luar – termasuk melalui keperluan modal Tonggak 2 dan penilaian penyeliaan,” katanya.

Nor Shamsiah berkata dengan membangunkan pelaksanaan taksonomi berteraskan prinsip dan usaha JC3 bagi menangani jurang data, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan BNM baru-baru ini telah menerima pelan empat tahun bagi persiapan ujian tekanan perubahan iklim peringkat industri di peringkat pihak terbabit.

“Ini turut disokong oleh usaha di peringkat BNM yang menggunakan model kesan makroekonomi membabitkan kejutan iklim mengikut takrifan senario iklim.

“Kita akan mengambil langkah-langkah konkrit selanjutnya untuk meningkatkan ketelusan terhadap pengurusan dan pendedahan risiko berkaitan iklim dalam sektor kewangan,” katanya.

Sejajar usaha itu juga, katanya, BNM menerusi perbincangan dengan pihak industri kewangan, akan memuktamadkan rancangan mandatori pendedahan risiko iklim oleh institusi terbabit pada tahun ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda