
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 19,000 golongan Orang Kurang Upaya (OKU) telah menerima suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata secara keseluruhan warga OKU yang mendaftar untuk menerima suntikan vaksin berjumlah 280,000 orang sehingga 20 Jun.
“Angka tersebut akan meningkat kerana sedang berjalan seluruh Malaysia, bukan hanya melibatkan institusi kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi rumah-rumah kebajikan yang diselenggarakan pihak swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika ditemui media selepas meninjau proses pemberian vaksin bergerak di Rumah Amal Cheshire Selangor, hari ini.
“KPWKM bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan cuba mendaftar dan mengutamakan warga OKU ini untuk mendapatkan vaksin.
“Proses ini akan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin bergerak di Rumah Amal Cheshire Selangor (RACS), di sini hari ini.
Menurutnya, seramai 25 orang penghuni dan 44 kakitangan RACS telah menerima suntikan untuk dos pertama.
“Inilah sokongan yang kita perlukan daripada semua pihak agar program vaksinasi dapat dijayakan dan imuniti kelompok iaitu 80 peratus daripada penduduk negara disuntik vaksin tercapai,” katanya.
-RI