Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

LPKP Sabah Bantu Pemandu Dapatkan Suntikan Vaksin COVID-19

By 24 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Idris Sani Saberun (Kota Kinabalu)/LPKP Sabah

KOTA KINABALU, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah sedang mengumpul data maklumat semua pemandu teksi, kereta sewa, bas termasuk bas persiaran serta e-hailing di Sabah bagi membantu mereka mendapat suntikan vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hiung dalam satu kenyataan pada hari ini mahu semua kumpulan pemandu yang terlibat mengambil peluang dengan mengisi borang di laman Facebook LPKP Sabah sebelum atau pada 10 Julai 2021.

“Melalui rekod LPKP Sabah, terdapat 44,925 orang pemandu yang berdaftar dengan pecahan 4,693 orang adalah pemandu bas; 29,626 pemandu lori; 5,184 pemandu teksi serta 5,422 pemandu e-hailing.

“Senarai nama yang diperolehi ini akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan dimajukan kepada kementerian berkaitan bagi tujuan penyelarasan pendaftaran dan seterusnya mendapat suntikan vaksin COVID-19.

“Kerajaan mengiktiraf mereka ini sebagai kumpulan barisan hadapan yang turut memainkan peranan penting terutama dalam sektor pengangkutan.

“Oleh itu, dengan melengkapkan dua dos suntikan maka adalah lebih mudah bagi mereka untuk beroperasi sepenuhnya semasa negara menghadapi pandemik COVID-19.

“Sebagai contoh, apabila kerajaan Brunei Darussalam mewajibkan semua pemandu pengangkutan yang melalui sempadan negara itu untuk pergi atau balik ke Sarawak, ramai pemandu yang terjejas kerana kebanyakkan mereka ini masih belum mendapat suntikan vaksin COVID-19,” kata Chin.

Selain itu, Chin berkata pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 dalam kalangan kumpulan pemandu ini diharap dapat membantu kerajaan mencapai sasaran jumlah suntikan kepada rakyat Malaysia menerusi Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK) dan Pelan Pemulihan Negara seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus rakyat negara ini melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 menjelang November tahun ini
bagi mencapai fasa keempat Pelan Pemulihan Negara dan seterusnya melaksanakan imuniti
kelompok.

“Oleh itu, adalah menjadi peranan kita semua, termasuk kumpulan barisan hadapan pemandu ini untuk sama-sama menjayakan Pelan Pemulihan Negara bagi membebaskan negara ini dari COVID-19 dan akhirnya kita semua dapat menjalankan aktiviti ekonomi yang
sangat terjejas akibat pandemik ini,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda