Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PKP 3.0: Dua Diarah Tutup, Tujuh Premis Dikompaun Gagal Patuh SOP

By 10 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/MPS

SELAYANG, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengeluarkan arahan tutup terhadap dua premis atas kesalahan menjalankan perniagaan berbeza dari syarat lesen dan melanggar arahan tutup yang telah dikenakan sebelum ini.

Manakala tujuh premis lain dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan yang melanggar syarat lesen dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Kawasan Perindustrian Selayang Utama, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat MPS, Ahmad Fauzi Ishak, berkata semua tindakan yang dikenakan adalah dibawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007.

“Operasi dijalankan bagi memantau kepatuhan pemilik perniagaan dan industri terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selain pematuhan kepada syarat lesen perniagaan oleh MPS.

“Sebanyak 60 premis telah dilawati, 35 daripadanya telah diperiksa sementara baki 25 lagi tidak menjalankan operasi.

“Pemeriksaan pematuhan SOP PKP 3.0 seperti bukti kebenaran beroperasi, jumlah pekerja yang hadir di premis, penggunaan aplikasi MySejahtera, penggunaan pelitup muka, penjarakan fizikal dan penyediaan pemeriksaan suhu,” katanya dalam satu kenyataan.

Penguatkuasa MPS sedang memeriksa lesen perniagaan dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Kawasan Perindustrian Selayang Utama, hari ini.

Penguatkuasa MPS sedang memeriksa lesen perniagaan dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Kawasan Perindustrian Selayang Utama, hari ini.

Menurutnya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengenakan tindakan kompaun RM1,500 terhadap dua pemilik premis kerana terdapat pekerja mereka yang gagal mendaftar kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Tindakan diambil selaras dengan Akta 342 – Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Operasi yang tamat pukul 12 tengah hari itu disertai 36 anggota penguatkuasa MPS, 18 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Angkatan Tentera Malaysia.

“MPS berharap para peniaga yang mendapat kebenaran untuk menjalankan operasi sepanjang tempoh PKP mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar rantaian pandemik Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bersama agensi lain akan sentiasa membuat pemantauan dari masa ke masa agar masyarakat tidak terus leka dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang ingkar.

-RI

Tinggalkan komen anda