
Laporan/foto: Siti Nabila Bohari/MEDKOM (Johor)
ISKANDAR PUTERI, 10 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri akan melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 dalam masa terdekat bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menurut Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, pakej rangsangan tersebut adalah pelengkap kepada inisiatif dan bantuan kerajaan pusat serta kesinambungan daripada PRE Ihsan Johor 1.0 dan PRE Ihsan Johor 2.0.
“Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 ini akan memperuntukkan sebanyak RM241 juta dengan 33 inisiatif dan bertunjangkan dua fokus utama iaitu pemerkasaan pengurusan pandemik dan pengukuhan bantuan keselamatan sosial.
“PRE Ihsan Johor 3.0 akan dilaksanakan segera bagi membantu golongan sasar yang memerlukannya selain menggerakkan usaha pemulihan ekonomi negeri,” katanya lagi pada sidang media yang diadakan di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah beliau, pemberian fasa pertama telah memanfaatkan 295,464 penerima yang melibatkan peruntukan berjumlah RM167.33 juta, sementara PRE Ihsan Johor 2.0 pula telah memanfaatkan seramai 387,674 penerima dengan nilai bantuan sebanyak RM109.48 juta.
“Dalam fokus pertama pemerkasaan pengurusan pandemik ini, kita akui bahawa sektor-sektor ekonomi tidak akan dapat dimajukan dan sektor-sektor sosial tidak dapat disejahterakan jika kita tidak dapat mengawal pandemik ini secepat mungkin.
“Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM75 juta untuk tujuan melaksanakan empat inisiatif bagi menjayakan perancangan pembukaan semula sempadan Singapura-Malaysia dan keberkesanan penuh tujuh Ikhtiar Makmur Johor untuk mengurangkan kadar kes jangkitan setiap hari di negeri ini,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 190,000 unit Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen akan dibeli bagi menyokong usaha ujian saringan bersasar.
“Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertaraf bandar raya seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) juga akan turut membeli kit ujian tersebut yang mana inisiatif ini bakal memanfaatkan hampir 60,000 orang.
“Kerajaan negeri akan terus membiayai perbelanjaan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sekatan jalan raya (SJR) dan kebajikan para petugas barisan hadapan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM20 juta yang mana ia akan terus dilaksanakan sehingga Disember 2021,” ujarnya lagi.
Hasni berkata, RM40 juta diperuntukkan untuk membeli vaksin COVID-19 bagi membolehkan rakyat di negeri ini mendapatkan bekalan vaksin yang mana inisiatif ini adalah kerjasama dengan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).
“Fokus kedua pula adalah pengukuhan bantuan keselamatan sosial yang akan menggunakan pendekatan secara sektoral di semua sektor masyarakat dan modal insan atau sektor pelancongan serta sektor perusahaan kecil dan sederhana yang akan mendapat manfaat.
“Sebanyak RM126.86 juta akan dibelanjakan bagi pelaksanaan 16 inisiatif yang merangkumi pelbagai pemberian sekali beri bagi sektor masyarakat dan modal insan, manakala bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana pula sebanyak RM9.5 juta disediakan yang akan diselaraskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Kerajaan Tempatan (SUK KT) dan semua PBT untuk disalurkan kepada semua penerima yang layak di negeri ini,” katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 kepada semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) Johor, dalam masa terdekat bagi membantu aktitivi wakil rakyat dalam program pendidikan COVID-19 di kawasan masing-masing termasuk program advokasi dan penyebaran informasi yang tepat dan sahih berkaitan usaha kerajaan menangani pandemik COVID-19 selain membantu pendaftaran vaksin membabitkan masyarakat luar bandar dan warga emas.
“Bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamatnya, saya menyeru semua pihak yang terbabit terutama rakyat di negeri ini agar dapat bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya lagi.
-NI-