
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/YIDE
SHAH ALAM, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengambil inisiatif membuka Kaunter Prihatin bagi membantu individu atau keluarga yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dilaksanakan.
Pengurus Besar YIDE Nur Mohd Razali Abdullah, berkata Kaunter Prihatin diperkenalkan sebagai salah satu tanggungjawab YIDE sebagai organisasi berkebajikan yang membantu khususnya rakyat di negeri Selangor.
“Barang keperluan asas seperti susu, tepung, beras dan lain-lain lagi akan diserahkan kepada mereka yang terkesan.
“YIDE akan membuka permohonan dalam talian bermula 3 Jun hingga 14 Jun ini dengan mengisi borang melalui pautan https://forms.gle/JnGbKTZpHobVuzFD6.
“Insya-ALLAH pertimbangan sewajarnya akan dilaksanakan oleh YIDE,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Nur Mohd Razali, berkata terdapat lima lokasi pengambilan barang-barang tersebut dan akan dimaklumkan kepada penerima melalui sistem pesanan ringkas sekiranya layak menerima sumbangan.
“YIDE juga turut membuka peluang kepada orang ramai untuk berinfaq barang keperluan asas untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan dengan menghubungi talian utama 017-7569476.
“YIDE merupakan sebuah agensi dibawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertangungjawab menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan di dalam negeri Selangor seperti menyalurkan sumbangan kecemasan kepada mangsa malapetaka atau musibah serta menguruskan semua hal ehwal anak yatim,” katanya.
-RI