Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Polis Sahkan Tiada Elemen Culik Remaja OKU Hilang

By 27 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengesahkan tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah susulan tular video di media sosial yang mengaitkan kejadian tersebut di Saujana Rawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed, berkata kejadian berlaku sekitar pukul 9 pagi ketika remaja orang kurang upaya (OKU) berusia 16 tahun itu bersama pengadu (ibu) ke sebuah warung untuk membeli sarapan di hadapan sebuah bank di Bandar Country Homes.

“Sebaik selesai, pengadu menyedari anaknya telah tiada dan dimaklumkan peniaga berhampiran bahawa anaknya telah mengikut seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta berwarna kelabu.

“Siasatan awal mendapati seorang kenalan pengadu telah memuat naik video kejadian ke beberapa kumpulan aplikasi WhatsApp sehingga kenderaan tersebut berjaya ditemui orang awam di Saujana Rawang sekitar pukul 12.30 tengahari.

“Pengadu mendapati anaknya dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, siasatan mendapati ketika remaja OKU berkenaan bertindak berjalan seorang diri, dia telah menahan sebuah kereta yang ketika itu melalui kawasan tersebut.

“Kereta berkenaan yang dipandu lelaki tempatan berusia 80 tahun itu berhenti dan membenarkan mangsa menaiki kenderaan tersebut kerana beranggapan mangsa tersebut meminta pertolongan.

“Namun lelaki tersebut tidak pasti arah tuju hendak membawa mangsa kerana mangsa tidak berkata apa-apa sehingga ditahan beberapa buah kenderaan serta orang awam di sekitar Saujana Rawang dan menuduhnya membawa lari mangsa.

“Hasil siasatan yang dijalankan, pihak polis mengesahkan tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah sebagaimana yang ditularkan,” jelasnya.

Katanya, pengadu juga telah menarik balik laporan polis yang diklasifikasi orang hilang yang dibuat sebelum ini.

-RI

Tinggalkan komen anda