Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Program Jangkauan Komuniti PPV Rembau Tumpu Masyarakat Orang Asli

By 16 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nasrul Abdul Hamid (Rembau)/PKD Rembau

REMBAU, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rembau mengambil inisiatif dengan melaksanakan Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi COVID-19 atau dikenali sebagai PPV Mobile dengan memberi tumpuan kepada masyarakat Orang Asli.

Menurut Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah Rembau Dr. Mohd Saiful Mohd Rosli, program ini julung kali diadakan di daerah Rembau dan sasaran pihak kesihatan adalah penduduk kawasan Kampung Orang Asli (KOA) Pabai, Air Siput dan Air Mampan.

“Pada petang semalam telah diadakan program pemberian vaksin di Balai Raya KOA Pabai dengan kekuatan seramai 10 orang petugas kesihatan termasuk dua orang Pegawai Perubatan.

“Sememangnya bagi daerah Rembau, selain pemberian vaksin di PPV Dewan Seri Rembau program ini dapat membantu meningkatkan jumlah pemberian vaksin kepada penduduk daerah Rembau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mohd Saiful, program ini adalah merupakan suatu inisiatif baharu bagi Negeri Sembilan untuk membantu masyarakat mendapatkan vaksin COVID-19.

“Kami di PKD Rembau sentiasa mengharapkan lebih ramai orang mendapatkan vaksin ini bagi tujuan membina imunisasi berkelompok seterusnya dapat mengekang wabak COVID-19 sepenuhnya.

“Ucapan penghargaan dan terima kasih juga diberikan kepada Pejabat Penerangan Daerah Rembau yang membuat hebahan berkaitan pemberian vaksin di Balai Raya KOA Pabai pada waktu pagi dan hasilnya seramai 40 orang penduduk berjaya diberikan suntikan vaksin COVID-19 ini,” ujarnya lagi.

Masyarakat Orang Asli Pabai mendengar taklimat yang diberikan oleh petugas kesihatan.

Masyarakat Orang Asli Pabai mendengar taklimat yang diberikan oleh petugas kesihatan.

Sementara itu, penerima vaksin COVID-19 Junainah Jimat, 29, menyatakan program seperti ini sangat berkesan kepada masyarakat Orang Asli kerana lokasi tempat tinggal mereka jauh dari pekan selain ada penduduk yang mempunyai masalah kenderaan.

“Ramai yang menghadirkan diri untuk divaksin di balai raya pada hari ini disebabkan hebahan yang dibuat oleh Pejabat Penerangan Rembau pada waktu pagi dan saya tidak sangka ianya mendapat sambutan dari masyarakat Orang Asli di sini,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan pertamanya.

Junainah juga berharap pihak yang berwajib dapat memperluaskan program ini ke perkampungan Orang Asli yang lain.

Penerima vaksin selesai divaksin.

Penerima vaksin selesai divaksin.

“Adalah diharapkan dengan menerima suntikan vaksin COVID-19 ini dapatlah masyarakat Orang Asli kembali dalam kehidupan normal seperti sedia kala dan semoga program seperti ini dapat diperluaskan lagi ke KOA yang lain dalam daerah Rembau ini,” katanya.

-FF

Tinggalkan komen anda