Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pusat Pemberian Vaksin Outreach Pertama di Tangkak Lebih Efektif

By 20 Jun 2021Jun 22nd, 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Kartina Saruni/Nur Shahrina Amran (Tangkak)

TANGKAK, 20 Jun ( Malaysiaaktif ) – Dewan Serbaguna Felda Sri Jaya merupakan lokasi yang dipilih sebagai tempat pemberian vaksin COVID-19 bagi program khidmat bantuan (outreach) yang dijalankan secara bersepadu melibatkan agensi-agensi kerajaan di daerah ini.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah Dr Rosila Yahaya, program ini di laksanakan ini bagi membantu memudahkan pemberian vaksin secara bersasar terutamanya kepada masyarakat yang tinggal jauh dari PPV di Dewan Jubli Intan Tangkak dan Dewan Muafakat Bukit Gambir.

Outreach ini melibatkan penduduk di sekitar Felda Sri Ledang dan juga Felda Sri Jaya yang terdiri daripada golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan juga yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya lagi ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin Outreach Dewan Serbaguna Felda Sri Jaya, di sini semalam.

Pegawai Daerah Tangkak Mohammed Shakib Ali, berkata beliau sangat berpuas hati dengan persediaan dan perlaksanaan program ini yang dilihat sangat efisien, cepat dan mudah di mana para penerima tidak perlu melakukan banyak pergerakkan dan hanya perlu menunggu di kerusi yang telah disediakan setelah selesai sesi pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin.

“Program ini merupakan salah satu inisiatif yang baik bagi memastikan penduduk di daerah ini khususnya yang berada di kawasan pedalaman untuk mendapat suntikan vaksin.

“Ia juga memberi sedikit kelegaan kepada para penduduk yang mempunyai masalah pengangkutan untuk ke PPV yang berhampiran,” ujarnya.

Seorang penerima vaksin, Sharifah Alya Rahman, 51, yang ditemui berkata beliau berterima kasih di atas inisiatif yang diwujudkan ini serta keprihatinan Pejabat Kesihatan dan Pejabat Daerah dengan membawa PPV bergerak ini ke kawasan felda.

Abdul Majid, 75, pula berpendapat pendekatan yang diambil oleh agensi-agensi kerajaan ini memudahkan golongan kurang upaya dan yang sukar bergerak untuk mendapatkan suntikan.

“Sebagai salah seorang pesakit kanser tulang, saya amat bersyukur di atas inisiatif ini yang secara tidak langsung memudahkan pergerakan saya untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,” ujarnya.

Seramai 300 orang penerima telah disenaraikan untuk menerima dos pertama suntikan vaksin semalam dan dos kedua pada 9 Julai nanti.

Orang ramai terutama penduduk di daerah Tangkak dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan walaupun telah mendapat suntikan vaksin kelak.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak Ezlan Farid Mohd Said dan Pengarah Hospital Tangkak Sabariah Mohammad Saad.

-NI-

Tinggalkan komen anda