
Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)
SHAH ALAM, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Kegiatan ekonomi khususnya sektor industri pembuatan dan perkilangan bukan punca utama kepada kenaikan kes positif COVID-19 harian di negara ini.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata berdasarkan statistik dan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa 75 peratus kes jangkitan harian positif COVID-19 adalah dalam komuniti.
“Kes harian pada hari ini adalah bersifat sporadik yang mana virus itu sudah ada dalam komuniti manakala 25 peratus lagi datang daripada pelbagai kluster termasuk kluster tempat kerja.
“Jumlah kluster yang dicatatkan daripada sektor perkilangan dan pembuatan adalah antara lima hingga 10 peratus sahaja, maka tidak benar untuk meletakkan kesalahan kepada sektor ekonomi khususnya sektor pembuatan,” katanya.

Azmin (kanan) sempat bertanyakan berkenaan kelancaran proses penerimaan vaksin kepada salah seorang penerima suntikan di PPV Setia City Convention Centre.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Setia City Convention Centre hari ini.
Mengulas lanjut, Azmin berkata kerajaan telah membuat keputusan membenarkan sektor ekonomi khususnya bagi perkhidmatan perlu untuk beroperasi bertujuan melindungi dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.
“Malaysia sebuah negara yang terlibat sebagai rantaian bekalan global dan kita tidak mahu ada gangguan.
“Bekalan keperluan asas juga merupakan barangan keperluan untuk kesihatan awam” ujarnya.
Terdahulu Azmin membuat tinjauan di sekitar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Setia City Convention Centre bagi memastikan proses aliran pemberian vaksin dikalangan pekerja industri berjalan lancar.
Menurut Azmin, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat lebih 2.24 juta tenaga kerja melibatkan industri perkilangan dan pembuatan yang akan telibat dalam Program PIKAS dan dijangka mencapai imuniti kelompok di kalangan pekerja industri menjelang hujung September.
-RI