Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PPV Tanjong Karang Dibuka Mudahkan Penduduk Setempat

By 28 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka (Kuala Selangor)

TANJONG KARANG, 28 Jun (Malaysiaaktif) – Pembukaan lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berhampiran dengan populasi penduduk dapat memudahkan penduduk menerima vaksin di lokasi yang berdekatan dengan mereka.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata PPV yang terletak di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang itu mampu mengendalikan maksimum kapasiti harian seramai 1,000 orang.

“Untuk permulaannya, kita akan buat kapasiti 500 orang dan selepas proses vaksinasi berjalan lancar, kita akan tingkatkan kepada kapasiti 1,000 orang.

“PPV Tanjong Karang ini adalah PPV awam tetapi dikendalikan oleh pengamal perubatan swasta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita akan lihat dari semasa ke semasa pembukaan lokasi PPV yang lebih hampir dengan populasi supaya kita tidak membebankan rakyat bergerak terlalu jauh untuk menerima vaksinasi mereka,” katanya selepas hadir ke lawatan pembukaan PPV Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), memaklumkan terdapat peningkatan kadar suntikan harian vaksin di negeri Selangor iaitu daripada 16,000 dos vaksin pada 1 Jun sehingga 46,000 dos vaksin pada 24 Jun.

Khairy bergambar bersama petugas Pusat Vaksinasi Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang.

Khairy bergambar bersama petugas Pusat Vaksinasi Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang.

“Ia hasil keputusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Kebangsaan yang menubuhkan lebih banyak PPV baharu dan PPV berskala besar seperti di Taman Eskpo Pertanian Malaysia (MAEPS) Convention Centre, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan Setia City Convention Centre.

“Pada 27 Jun negeri Selangor telah menerima sebanyak 1,367,306 dos vaksin yang terdiri daripada Sinovac, Pfizer serta AstraZeneca dan mempunyai baki sebanyak 322,606 dos vaksin yang mencatatkan kadar penggunaan vaksinasi 76 peratus di Selangor.

“Diharap agar negeri Selangor dapat meningkatkan kadar penggunaan vaksinasi sehingga 90 peratus iaitu dengan mencapai kapasiti suntikan 100,000 dos vaksin sehari menjelang Julai,” jelasnya.

Menurutnya, tuduhan bahawa vaksin tidak dihantar ke negeri Selangor adalah tidak betul kerana pihaknya hanya memberi vaksin mengikut permintaan kerajaan negeri Selangor.

“Saya bermesyuarat dengan Menteri Besar Selangor dua minggu lepas, di situ kerajaan negeri yang sebut bahawa kapasiti Selangor untuk bulan Jun adalah 40,000 suntikan sahaja setiap hari.

“Jadi, saya pun tak pasti Exco dapat angka 80,000 itu dari mana sebab Exco Kesihatan pun tak hadir dalam perjumpaan itu,” jelas beliau.

Khairy berkata, kerajaan juga sedang merancang akan membuka lebih banyak PPV hampir setiap daerah dan juga menaikkan kapasiti PPV skala besar untuk meningkatkan kadar penggunaan vaksin pada 90 peratus di setiap negeri.

-RI

Tinggalkan komen anda