
Laporan/foto: Muhammad Arief/Muhammad Hariz (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 9 Jun (Malaysiaaktif) – “Tok nyik, ki cucuk rasa bagei bi kap ya las, maksudnya tidak sakit seperti digigit semut dalam bahasa Orang Asli suku kaum Semai,” ujar Batin Kampung Orang Asli Lemoi Zainal Bah Siapa sebaik menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Puncak Arabella, di sini, semalam.
Menurut Zainal, beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan setelah menerima suntikan vaksin.
“Selepas menerima suntikan, saya tidak mengalami sebarang kesan-kesan sampingan, tiada rasa pening kepala atau kebas-kebas selepas dicucuk.
“Proses suntikan vaksin tidak menakutkan seperti yang digembar-gemburkan, jadi tidak perlu takut atau percaya dengan khabar angin yang disebarkan” katanya.
Beliau berharap dan menyeru agar para penduduk kampungnya segera tampil untuk mendaftar bagi menerima vaksin.
Batin Zainal antara sebahagian daripada 10 orang Tok Batin dan Pegawai Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Cameron Highlands yang menerima suntikan vaksin dos pertama jenis Pfizer BioNTech.
Pegawai Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Cameron Highlands Amirul Azwan Zakaria yang ditemui berkata JAKOA Cameron Highlands membawa lima orang Batin daripada perkampungan Orang Asli daerah Cameron Highlands bagi menerima suntikan ini.
“Majoriti daripada Batin yang menerima vaksin pada hari ini sangat positif yang mana secara tidak langsung membantu dalam meyakinkan lagi komuniti orang asli di sini bagi mendaftar dan mendapatkan vaksin.
“Selain itu, JAKOA dengan kerjasama Jabatan Penerangan, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands serta sukarelawan dari pelbagai NGO Cameron Highlands turut merangka pelbagai perancangan bagi menggiatkan lagi promosi pendaftaran vaksin secara manual di kawasan perkampungan orang asli daerah Cameron Highlands dalam masa terdekat,” ujarnya.
-AH-