Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Tangguh Program Tiada Berkaitan PdPR bagi Kurangkan Beban Guru

By 7 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 7 Jun (Malaysiaaktif) –Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta Kementerian Pendidikan menangguhkan beberapa program buat sementara waktu bagi membolehkan guru memberi tumpuan penuh kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata sekiranya program berkenaan diteruskan, ia hanya akan menambah beban dan menggangu tumpuan guru semasa pelaksanaan PdPR.

Beliau berkata antara program yang perlu ditangguhkan itu ialah Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25); pelaksanaan kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Dialog Prestasi; Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).

“NUTP mengalu-alukan pelaksanaan program yang telah disusun atur, namun NUTP berpandangan fokus utama pendidikan ketika negara sedang bertungkus-lumus membendung penularan COVID-19 ini adalah dengan memperkukuh lagi pelaksanaan PdPR dengan membuat perancangan yang lebih berstruktur dan tersusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan berkata PdP secara bersemuka ketika ini kerap tergendala sehingga murid terpaksa belajar dari rumah.

Justeru, beliau berkata kejayaan pelaksanaan PdPR adalah amat penting supaya tiada murid yang tercicir dan ketinggalan dalam pendidikan terutamanya murid di kawasan pedalaman dan daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

“Para pendidik perlu memberi tumpuan penuh kepada PdPR kerana murid dilihat masih belum mendapat pendidikan sempurna sejak dua tahun kebelakangan ini akibat COVID-19,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan sesi pembelajaran selepas cuti pertengahan tahun ini diteruskan dengan kaedah PdPR selama 25 hari mengikut kumpulan negeri masing-masing.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda