Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kerajaan Negeri Tawar Rumah Rakyat Bantu Lapan Beradik

By 25 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Sh. Nurrul (Kuantan)

KUANTAN, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri menawarkan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 untuk didiami secara percuma oleh lapan beradik yang kematian kedua ibu bapa mereka akibat wabak COVID-19.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tapak rumah RRP yang dicadangkan adalah di kampung asal arwah ibu mereka yang terletak di Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 2 Jerantut dan sementara menunggu rumah ini siap, mereka akan menetap di rumah sewa yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Saya turut bersedih dan bersimpati dengan nasib kelapan-lapan beradik ini.

“Nazurah Nabilah Benyajeed yang berusia 19 tahun dan adik-adiknya yang berusia di antara empat hingga 18 tahun kini tinggal menyewa bersama-sama ibu saudara mereka di Rawang Selangor,” menurut kenyataan tersebut, semalam.

Tambahnya, demi melihat mereka kekal tinggal bersama-sama ibu saudara mereka, pihaknya telah membuat tawaran RRP ini manakala ibu saudara mereka turut akan diberikan elaun bulanan.

“Yayasan Pahang (YP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) juga akan membiayai pendidikan mereka yang masih bersekolah manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang juga akan menyenaraikan mereka sebagai penerima bantuan bulanan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya telah menghubungi Nazurah dan berharap tawaran ini akan diterima oleh keluarga itu.

-AH-

Tinggalkan komen anda