Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

1000 Orang Terima Vaksin di Johol

By 25 Julai 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)/Mohd Khairulnizam Mohd Yunus (Negeri Sembilan)

KUALA PILAH, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Kehadiran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobil Institut Jantung Negara (IJN) di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Undang Abdul Manap (SMKDUAM), Johol dilihat telah merancakkan lagi pemberian vaksin kepada 1000 orang penduduk meliputi Orang Asli dan penduduk setempat di sini.

PPV IJN Mobil yang beroperasi melalui satu unit bas dan satu unit treler yang dilengkapi dua ruang vaksinasi dan satu ruang ICU adalah satu inisiatif IJN untuk mendekati masyarakat di luar bandar dan pedalaman.

Menurut Pengarah Bergerak Vaksinasi IJN Prof Datuk Dr. Mohamad Ezani Md Taib, seramai 40 orang petugas kesihatan IJN termasuk dua doktor pakar bedah dan empat pegawai perubatan dibantu oleh jururawat dan pegawai sokongan kesihatan turut serta dalam pengoperasian PPV Mobil IJN.

“Dalam rangka jelajah PPV Mobil IJN ini, Negeri Sembilan merupakan negeri kedua selepas Johor dan mukim Johol dan Serting menjadi lokasi pemberian vaksin dengan menganggarkan sejumlah keseluruhan 3000 dos Pzifer dapat diberikan.

Seorang warga emas sedang menerima vaksin jenis Pfizer.

Seorang warga emas sedang menerima vaksin jenis Pfizer.

“Bagi IJN, kami lebih menumpukan pembukaan PPV bergerak di kawasan pedalaman agar sasaran program imunisasi berkelompok dicapai dan kita juga dapati seawal pukul 7.30 pagi, orang ramai mula hadir untuk menerima suntikan vaksin dan ini jelas menunjukkan pendekatan sebegini amat dinantikan oleh penduduk luar bandar,” ujarnya ketika ditemui di SMKDUAM, di sini kelmarin.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Johol Saiful Yazan Sulaiman, menyatakan kesyukuran atas kehadiran perkhidmatan sebegini yang menyaksikan kerjasama penduduk dari pelbagai kaum, umur dan lapisan masyarakat amat memberangsangkan.

“Di sini, untuk memberikan suntikan terhadap 1,000 dalam masa sehari merupakan satu pencapaian yang luar biasa memandangkan pelbagai faktor seperti pengangkutan dan kesediaan masyarakat setempat perlu diambil kira,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, ketika ditemui menyatakan dengan usaha begini jumlah peratusan vaksinasi dapat dipertingkatkan terutamanya suntikan dos pertama dan seterusnya menjadikan Negeri Sembilan kembali hijau semula.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah bersama Sahabat Volunteers menyerahkan cenderhati kepada penerima vaksin.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Pilah bersama Sahabat Volunteers menyerahkan cenderhati kepada penerima vaksin.

“Sebagai agensi yang menyalurkan maklumat mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Jabatan Penerangan turut menjelaskan kepada orang ramai mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pengamalan norma baharu dan tidak merasa kebal apabila sudah divaksin,” katanya.

Menurut ketua komuniti tempatan Orang Asli Idris Govindarasu, melihat program ini telah memberi keyakinan kepada masyarakat Orang Asli untuk menerima vaksin yang selama ini ditakutkan dengan pelbagai berita tidak benar.

“Jika tiada PPV bergerak ini mungkin masyarakat Orang Asli tidak berpeluang untuk suntik vaksin kerana Pekan Pilah jaraknya terlalu jauh selain tiada kenderaan sesuai untuk ke sana,” katanya.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Pilah Dr. Noraliza Radzali, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintenden Amran Mohd Ghani, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah Megat Affendi Ismail dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kuala Pilah Mohd Khairul Anuar Khamis.

-FF

Tinggalkan komen anda