
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/MPS
SELAYANG, 27 Jul (Malaysiaaktif) – Bekas Timbalan Pengarah Timbalan Pengarah (Pengurusan) di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Yazid Sairi, dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang baharu berkuat kuasa 19 Julai lalu.
Beliau yang berpengalaman 21 tahun dalam perkhidmatan awam pernah bertugas di Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Kementerian Pengajian Tinggi dan Timbalan Pengarah di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.
Mohd Yazid, 47, berkelulusan Sarjana Pengurusan Strategik Sumber Manusia di Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Sepang pada 2018 dan menganggap jawatan sebagai YDP adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan.
“Ianya memerlukan sokongan dan kerjasama Ahli-Ahli Majlis dan semua pengarah jabatan dalam membentuk perancangan pembangunan dan peningkatan hasil MPS amat penting untuk diteruskan.
“Selain fokus kepada isu kilang tanpa kebenaran, isu-isu penguatkuasaan yang lain seperti pembuangan sampah haram, kacau ganggu, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya harus terus diberi perhatian.

Mohd Yazid Sairi yang berpengalaman 21 tahun dalam perkhidmatan awam menandatangani surat terima tugas sebagai YDP Majlis Perbandaran Selayang.
“Menjadi hasrat saya untuk meneruskan visi MPS dinaik taraf sebagai sebuah bandaraya menjelang 2030 atau lebih awal dapat dicapai atau sekurang-kurangnya berada pada landasan yang betul,” katanya ketika Majlis Lafaz Akuan Terima Jawatan di pejabatnya, di sini hari ini.
Justeru, beliau berkata, banyak cabaran dan rintangan bakal tempuhi selain perlunya perancangan yang rapi untuk mencapai hasrat berkenaan.
“Selain itu, MPS juga menetapkan sasaran untuk menjadikan Selayang ini sebuah Bandar Rendah Karbon (Low Carbon City) dan Bandar Pintar (Smart City).
“Saya amat mengalu-alukan dan mengharapkan pandangan yang positif daripada semua pihak bagi merealisasikan segala perancangan dan pembangunan untuk mencapai sasaran ini,” ujar beliau.
Beliau menggantikan Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor yang ditukarkan ke Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai Setiausaha Bahagian Kanan (Mineral dan GeoSains) pada 20 Mei lalu.
-RI