
Laporan/foto: Mohd Sharir Mohd Sani/Mohd Najib Mohaini (Kluang)
KLUANG, 10 Jul (Malaysiaaktif) – Program Mobalisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) melalui insiatif Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak telah di lancarkan bagi membantu meningkatkan kadar pemberian vaksin di kawasan tertentu.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraidah Kamaruddin, inisiatif ini bagi membantu para penerima vaksin yang mempunyai kekangan untuk hadir ke PPV Awam yang di tetapkan bagi mendapatkan vaksinasi dan ia juga turut mensasarkan komuniti seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar, kawasan kampung termasuk perkampungan orang asli dan juga diladang-ladang.
“Buat masa ini sebanyak 25 unit bas yang telah diubah suai mengikut spesifikasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan digunakan sebagai unit PPV bergerak MOVAK dengan kerjasama agensi dan komuniti di bawah kedua-dua kementerian.
“Program MOVAK ini mempunyai empat komponen penting iaitu Unit Panggilan, Unit Mobalisasi, Unit Jangkauan Komuniti dan Unit PPV Bergerak,” katanya semasa pelancaran PPV Bergerak Program Mobilisasi Komuniti di PPV Dataran Tasik Kluang, di sini hari ini.

Datuk Zuraidah Kamaruddin dan Datuk Halimah Mohamed Sadique meninjau sesi suntikan vaksinasi di dalam unit PPV MOVAK.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata entiti komuniti yang berada di bawah kedua-dua kementerian iaitu Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan Penggerak Komuniti Negara (PKN) telah digerakkan bagi membantu penerima vaksin di PPV bergerak MOVAK dan setakat ini sebanyak enam program besar telah dilaksanakan melalui insiatif ini.
“Lokasi PPV bergerak MOVAK adalah berdasarkan cadangan dari Badan Bertindak Imunisasi Kebangsaan (CITF) peringkat negeri dan daerah yang dikenal pasti terdapat kekangan kemudahan awam yang membolehkan PPV bergerak MOVAK diatur ke lokasi tersebut,” ujarnya.
Seorang penduduk yang ditemui, Rozli Hashim, 46, dari Simpang Renggam berkata, inisiatif unit PPV bergerak MOVAK ini akan memudahkan dan mempercepatkan urusan para penduduk dalam mendapatkan suntikan vaksin.
“Saya amat menyokong hasrat dan tindakan yang diambil kerajaan bagi memastikan semua penduduk menerima suntikan vaksin dan seterusnya mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera,” tambahnya.
-NI-