
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/MPS
GOMBAK, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengambil tindakan kompaun terhadap tujuh individu atas kesalahan membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
Tindakan sedemikian diambil apabila orang ramai masih tidak mematuhi larangan pembuangan sampah di rumah sampah yang dikhaskan untuk peniaga pasar di Pasar Taman Sri Gombak.
Pengarah Jabatan Korporat MPS Mohamad Zin Masoad, berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan hanya dilakukan penjaja dan pekedai yang bukan beniaga di pasar tersebut, malah melibatkan individu tidak bertanggungjawab yang membuang sampah domestik mereka.
“Isu limpahan sampah di pasar ini telah berlarutan hampir dua tahun apabila rumah sampah yang dibina untuk peniaga di pasar, digunakan individu tertentu hingga menimbulkan isu kebersihan di kawasan sekitar.

Pihak MPS menyerahkan notis kompaun kepada individu yang melakukan kesalahan membuang sampah di kawasan yang tidak dibenarkan.
“Pada 23 Julai lalu, MPS telah menyerahkan kompaun kepada tujuh lagi individu akibat kesalahan membuang sampah di rumah sampah Pasar Sri Gombak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, notis kompaun ini telah dihantar ke kediaman pesalah melalui semakan nombor pendaftaran kenderaan di aplikasi i-Sikap hasil pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan tersebut.
“Pelaku-pelaku yang didapati melakukan kesalahan tersebut sepanjang bulan Mei dan Jun 2021 telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah Seksyen 5, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPS) 2007.
“Sejak Januari sebanyak 34 kompaun telah dikeluarkan akibat kesalahan membuang sampah hasil pemantauan CCTV yang dipasang di beberapa kawasan ‘panas’ di kawasan pentadbiran MPS.
“MPS mengingatkan masyarakat agar membuang sampah domestik di tong sampah kediaman mereka selain peka terhadap jadual kutipan sampah di kawasan kediaman masing-masing,” katanya.
-RI