
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/BES Labuan
LABUAN, 25 Jul (Malaysiaaktif) – Petugas Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kolej Matrikulasi Labuan, PPV Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan PPV Taman Mutiara yang diselaraskan oleh Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan menjadi sasaran seterusnya untuk menerima 150 kit makanan tengah hari melalui Program Sinergi LabuanFM; Prihatin Privo Labuan.
Menurut Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan Aminah Samsudin Mohd, program itu merupakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) penyampai radio dan kakitangan stesen tersebut yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik MPPWP Zon Labuan iaitu dengan memberikan kit makanan bermasak kepada petugas sukarelawan PriVo.
“Program kali ini merupakan salah satu inisiatif bagi memberi fokus kepada petugas sukarelawan yang turut sama membantu melancarkan proses pemberian vaksin di pusat pemberian vaksin terpilih bagi mencapai sasaran komuniti kelompok akibat penularan pandemik COVID 19 yang telah melanda negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Izuandi (paling kiri) bersama Rosmani (dua dari kiri) bergambar kenangan selepas penyerahan sumbangan di PPV di Taman Mutiara.
Beliau berkata, antara objektif pelaksanaan program adalah untuk menunjukkan kecaknaan terhadap kepentingan membantu golongan yang terjejas dan menyokong usaha sukarelawan PriVo yang sedia berkhidmat membantu kelancaran pemberian vaksin di pusat pemberian vaksin di Labuan.
“Program ini juga dapat memupuk keprihatinan dalam masyarakat menerusi gandingan kerjasama antara jabatan, agensi kerajaan, pihak korporat/swasta dan badan bukan kerajaan.
“LabuanFM bukan sahaja berperanan menyebarluaskan inisiatif dan mesej kerajaan menerusi siaran radio dan media sosial tetapi juga turut menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya.
Sumbangan kit makanan tersebut disampaikan oleh Ketua Unit Berita Ehwal Semasa (BES) Jabatan Penyiaran Labuan Izuandi Jaludin kepada Pengerusi MPPWP Zon Labuan Mohd Dzulfaizal Ab. Manan, Timbalan Pengerusi MPPWP Zon Labuan yang mewakili petugas PPV UMSKAL Hadnan Muhamad dan Ketua Kampung Sungai Bedaun Rosmani Puteh.
-RI