Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

PPV Bergerak Bantu Lancarkan Proses Suntikan Vaksinasi

By 30 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar) 

KANGAR, 30 Jul (Malaysiaaktif) – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak menjadi inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi melancarkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Azman Mohd Yusof, seramai 150 orang telah diberi tarikh dan waktu janji temu bagi menerima suntikan vaksin di PPV ini.

“Pelaksanaan program seumpama ini, secara tidak langsung mampu mengelakkan berlakunya keciciran dalam kalangan penduduk untuk menerima suntikan vaksin.

“Setiap PPV bergerak dilengkapi dengan kemudahan dan para petugas yang terlatih bagi melancarkan gerak kerja vaksinasi dalam kalangan masyarakat terutama dari kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui pada sesi lawatan ke PPV Bergerak di Dewan Kampung Sentua Tambun Tulang, di sini hari ini.

Tambahnya, PPV bergerak ini di jangka dapat mencapai sasaran 2,000 orang penerima vaksin terutama di kawasan luar bandar yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke PPV yang berhampiran.

“Terdapat beberapa PPV bergerak yang akan beroperasi namun ia masih dalam perancangan di antaranya ialah PPV Kubang Gajah dan Bomba Negeri Perlis.

“Ini merupakan sebahagian usaha untuk mempercepatkan lagi proses pemberian vaksin di negeri ini,” ujarnya.

Beliau memaklumkan sehingga semalam 38.35 peratus rakyat di negeri ini telah lengkap menerima kedua-dua dos suntikan vaksin.

“Untuk keputusan peralihan negeri ini ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah tertakluk kepada pengumuman kerajaan persekutuan nanti.

“Namun begitu, buat masa ini adalah amat penting bagi rakyat Perlis untuk sentiasa mematuhi amalan norma baharu bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan,” tambahnya.

Azman berkata, berikutan peningkatan kes positif di negeri ini sejak beberapa hari yang lalu, beliau akan membuat pemantauan yang lebih ketat bagi mengawal penularannya.

“Bagi rakyat yang bukan dari negeri ini, saya harap mereka akan mendapatkan suntikan vaksin di negeri masing-masing.

“Isu ini telah saya bangkitkan kepada pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk dipantau dan tindakan selanjutnya,” jelasnya.

-NI-

Tinggalkan komen anda