
Laporan/foto: Musliha Yusof (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Southern Volunteers (SV) menjadi pemangkin terhadap pembentukan semangat kesukarelawan dalam kalangan belia di negeri ini yang mana ia turut memberi impak besar dalam kehidupan bermasyarakat.
Menurut Sukarelawan SV Muhammad Hazim Ishak, 30, yang juga merupakan Pegawai Sukan di Kolej Poly-Tech Mara (?KPTM), usaha pembentukan sukarelawan ini memberi peluang kepada masyarakat hari ini membina jati diri dalam membantu orang lain tanpa sebarang prejudis.
“Dalam membentuk satu negara yang makmur, kita perlu ada wawasan dalam menghidupkan perasaan kasih sayang tanpa mengira kaum dan bangsa, apatah lagi negara kita sangat terkenal dengan keunikannya sebagai sebuah negara yang majmuk,” katanya ketika ditemui pada program Malaysia Vaccine Support Volunteer (MyVAC) di Bangunan Tunku Mahkota Ibrahim Ismail, di sini semalam.
Tambahnya, beliau yakin SV telah membuka minda golongan belia di negara ini tentang tanggungjawab sosial dalam membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.
“Anggap sahaja bantuan yang diberikan sebagai amal jariah dan berharap akan lebih ramai belia di negeri ini akan tampil untuk mendaftar dan menyertai pertubuhan ini demi pembentukan sahsiah peribadi mulia dikalangan orang muda.
“SV berperanan dalam membantu melancarkan lagi program MyVAC sepanjang Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berlangsung yang mana mereka akan berada di pusat pemberian vaksin ini bagi membantu kelancaran pemberian vaksinasi kepada rakyat di negeri ini,”katanya.
-NI-