Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Vaksinasi Bergerak SK Sentosa Berjalan Lancar

By 26 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurhayati Abd Halim (Sarawak)

SIBU, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Hari pertama program vaksinasi bergerak di Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa, di sini berjalan dengan baik malah prosesnya juga sangat lancar.

Menurut Ketua Progam Vaksinasi Mobile Outreach, James Badi, 45, menyatakan bahawa program ini menyasarkan penerima vaksin daripada kalangan penduduk Kampung Usahajaya Baru, Jalan Sentosa dan kawasan sekitarnya yang tercicir dari senarai MY Sejahtera.

“Selain itu, program vaksinasi yang menggunakan bas ini juga memudahkan penerima vaksin yang sukar bergerak dan tidak mempunyai kenderaan untuk ke pusat-pusat vaksin yang mungkin agak jauh dari tempat kediaman mereka,” katanya ketika ditemui sempena program di sekolah tersebut, di sini kelmarin.

Ketua Program Vaksinasi Mobile Outreach di SK Sentosa Sibu, James Badi ketika ditemui anggota JaPen Daerah Sibu.

James Badi ketika ditemui anggota JaPen Daerah Sibu.

James yang juga bertugas di Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu memaklumkan pihaknya berjaya memberi vaksin kepada 104 penerima vaksin dan dijangka lebih ramai lagi penerima vaksin akan hadir kerana petugas dari Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu bergerak dari pintu ke pintu rumah penduduk Kampung Usahajaya Baru, Jalan Sentosa untuk mengesan penduduk yang masih belum menerima vaksin dan mengajak mereka hadir ke program vaksinasi ini.

“Bagi penduduk yang tidak dapat hadir pada hari ini mungkin disebabkan urusan kerja, usah risau kerana mereka boleh datang pada keesokan harinya kerana program ini diadakan selama dua hari.

“Proses yang dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan Sibu di kawasan Usaha Jaya Baru ini berjalan dengan sangat lancar dan prosesnya adalah sangat teliti dimana pihaknya pergi dari satu rumah ke rumah yang lain bagi mengesan penduduk yang belum menerima vaksin dan mengajak mereka hadir ke program ini.

Petugas KKM yang pergi ke rumah penduduk kampung bagi mengesan penduduk yang belum divaksin.

Petugas KKM yang pergi ke rumah penduduk kampung bagi mengesan penduduk yang belum divaksin.

“Seramai 32 orang petugas dan sebahagian daripadanya telah bergerak dari rumah ke rumah selain daripada petugas sukarelawan daripada pelbagai jabatan seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysai (PDRM) dan dan juga kerjasama dari penduduk kampung serta Jabatan Penerangan Daerah Sibu yang juga turut membuat hebahan mengenai program ini,” katanya yang meyakini imuniti kelompok akan dapat dicapai menjelang Ogos ini.

Program vaksinasi bergerak yang menggunakan bas ini merupakan destinasi keempat sejak beroperasi pada 2 Julai lalu yang mana destinasi terdahulu ialah Rejang Medical Centre, Taman Harmoni dan Cafe Selalo.

-ZS-

Tinggalkan komen anda