Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Video Pembantu Penerangan Fasih Berbahasa Mandarin Curi Perhatian Netizen

By 26 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/Mohd Syazwan Fahmi (Kuantan) 

KUANTAN, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Video seorang Pembantu Penerangan Jabatan Penerangan Negeri Pahang Nur Allyshia Ariana Low yang mahir berkomunikasi dalam bahasa Mandarin menjadi tular di kalangan pengguna media sosial dan penduduk sekitar setelah beliau membuat hebahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar di Inderapura, di sini, semalam.

Menurut Nur Allyshia Ariana Low, beliau tidak menyangka videonya berkomunikasi dalam bahasa Mandarin semasa membuat hebahan di kawasan PKPD menjadi tular.

“Saya berasa gembira dan bangga kerana dapat membuka mata masyarakat tentang peranan dan keunikan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pahang,” katanya ketika ditemui di Inderapura Kuantan, di sini, semalam.

Tambah beliau, ianya berlaku secara spontan, di mana pada ketika itu beliau bersama Pemangku Pegawai Penerangan dan Juru Audio Visual (JAV) sedang mengadakan hebahan di Taman Perumahan Inderapura Kuantan dan ternampak sepasang suami isteri berbangsa Cina berhampiran pagar rumahnya.

“Saya bertanya kepada mereka sama ada bekalan makanan mereka mencukupi atau tidak dan pasangan itu memaklumkan bahawa mereka hanya perlu ke kedai untuk mendapatkan bekalan sayur-sayuran sahaja.

“Saya memaklumkan kepada mereka, jika ingin mendapatkan barang-barang keperluan, mereka boleh ke pasar raya yang berdekatan namun hanya seorang sahaja dibenarkan keluar,” jelasnya.

Beliau tidak menyangka rakaman video perbualan tersebut mendapat sambutan yang luar biasa di aplikasi TikTok dengan jumlah tontonan melebihi 400,000 orang dan ruangan komen juga dihujani reaksi-reaksi yang sangat positif daripada netizen.

Video tersebut telah dimuat naik di akaun TikTok @kecibum yang mana pemiliknya merupakan Pemangku Pegawai Penerangan Daerah Kuantan Zayana Zahira Mohd Isa.

Zayana memaklumkan hebahan dalam pelbagai bahasa merupakan rutin biasa yang dilakukan oleh Pejabat Penerangan Daerah Kuantan dalam membuat hebahan bagi meraikan kepelbagaian kaum di daerah ini.

“Walaupun bahasa Melayu merupakan bahasa Kebangsaan, tetapi pihak kami turut memahami terdapat sesetengah pihak yang kurang fasih dalam berbahasa Melayu.

“Disebabkan di jabatan kami terdapat beberapa kakitangan yang fasih dalam bahasa Mandarin dan juga Tamil, jadi kami gunakan kelebihan yang ada untuk membuat hebahan bagi memastikan maklumat yang tepat dan terkini sampai kepada masyarakat,” ujarnya

Beliau berkata mereka juga turut membuat hebahan dalam loghat Pahang.

Video tersebut juga turut dikongsi oleh Sinar Harian, Utusan, Radio Gegar dan beberapa platform media sosial yang lain.

-AH-

Tinggalkan komen anda