Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

343 Penduduk Taman Jemapoh Murni Berjaya Disaring

By 2 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamidah Md Drus/Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 343 penduduk di Taman Jemapoh Murni, di sini menjalani ujian saringan COVID-19, selepas Pusat Kesihatan Daerah (PKD) mengesan sebanyak 29 kes positif COVID-19 direkodkan di taman terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD), Mohd Faizal Abdul Manap, berkata ujian saringan itu dijalankan bermula dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam, membabitkan lapan agensi berkaitan.

“Terdapat 29 kes positif COVID-19 dilaporkan di taman terbabit dalam tempoh tiga hari dan peningkatan kes baharu di kawasan itu sangat cepat.

“Jadi, sebelum ia merebak menjadi kluster baharu di Kuala Pilah dan menjangkiti penduduk lain, pihak Pejabat Kesihatan Daerah membuat operasi saringan bersasar kepada seluruh penduduk taman berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, baru-baru ini.

Saringan sedang dilakukan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah.

Saringan sedang dilakukan oleh kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah.

Tambah Faizal, bantuan keperluan makanan kepada penduduk yang menjalani kuarantin akan disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Ahli Parlimen Kuala Pilah, Pejabat Khidmat ADUN Juasseh serta pihak penyelaras DUN.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Kuala Pilah, Dr. Kamarul Arifin Kamarudin, menjelaskan bahawa ujian saringan ini menggunakan alat RT- PCR dan melibatkan semua lapisan umur bermula dari kanak-kanak hinggalah kepada warga emas.

“Kita juga menjangkan bahawa hasil saringan akan dapat diperoleh dalam tempoh antara tiga hingga empat hari, dan sepanjang tempoh tersebut setiap individu yang dipakaikan gelang kuarantin diminta mematuhi arahan kuarantin dengan baik.

“Justeru, dalam usaha meningkatkan kepatuhan SOP sepanjang tempoh kuarantin serta mengingatkan para penduduk agar sentiasa peka kepada keadaan kesihatan diri dan ahli keluarga, hebahan bersepadu antara Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah dan Unit Promosi Kesihatan Daerah dilaksanakan pada waktu pagi dan petang,” ujarnya lagi.

Penduduk diingatkan untuk segera menghubungi talian kecemasan 999 jika ingin mendapatkan bantuan segera atau hubungi talian hotline taman harmoni murni di 017- 655 2040 sepanjang tempoh kuarantin.

-FF

Tinggalkan komen anda