Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

43,200 Dos Vaksin CanSino Tiba di Sabah

By 25 Ogos 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siscalistorina Janius/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Kumpulan kedua 43,200 dos vaksin dos tunggal jenis CanSino selamat tiba di Sabah.

Bekalan terbabit diangkut menggunakan pesawat MH6312 Mas Cargo yang berlepas pada pukul 6.30 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di MasKargo Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, pukul 9.05 pagi tadi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentabiran) Datuk Masnah Matsalleh, berkata vaksin tersebut akan diberi keutamaan kepada penduduk di kawasan pedalaman, luar bandar dan pulau di seluruh Sabah.

Masnah (tiga dari kiri) menyambut ketibaan vaksin SinoVac.

Masnah (tiga dari kiri) menyambut ketibaan vaksin SinoVac.

“Pengagihan vaksin ini telah ditetapkan di daerah-daerah oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan setakat ini vaksin yang diterima adalah mencukupi bagi keperluan sasaran yang telah ditetapkan.

“Vaksin dos tunggal CanSino bagi kumpulan pertama telah tiba semalam iaitu sebanyak 50,800 dos,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Masnah yang juga Pengarah Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Sabah memaklumkan Sabah bakal menerima 86,000 dos vaksin sama, pada 27 Ogos ini.

“Dengan bekalan tambahan vaksin dari beberapa negeri, Sabah berupaya menampung sasaran pemberian vaksin di negeri ini.

Vaksin diangkut ke dalam lori dengan berhati-hati untu dihantar ke pusat penyimpanan vaksin.

Vaksin diangkut ke dalam lori dengan berhati-hati untu dihantar ke pusat penyimpanan vaksin.

“Selain kumpulan kedua vaksin CanSino, kita juga menerima 70,000 dos vaksin SinoVac pada hari ini dan pada minggu ini juga kita turut menerima beberapa jenis vaksin seperti Pfizer sebanyak 252,720 dos pada Isnin.

“Difahamkan pada Jumaat ini kita akan menerima bekalan vaksin dari Sarawak dan Selangor, maka bekalan vaksin yang ada ini dapat menampung sasaran pemberian vaksin di Sabah,” ujarnya.

Turut hadir menyambut bekalan vaksin tersebut ialah Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pengurusan Logistik Vaksin, Ag. Shahminan Datuk Ag. Sahari.

-RI

Tinggalkan komen anda