
Foto: DOA
PUTRAJAYA, 20 Ogos (Malaysiaaktif) – Agensi Nuklear Malaysia dan Jabatan Pertanian (DOA) semalam memeterai nota kerjasama strategik bagi teknologi nuklear dalam bidang pertanian yang meliputi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Siti A’iasah Hashim berkata kerjasama berkenaan adalah dalam bentuk pengembangan dan pengadaptasian teknologi nuklear yang bersesuaian dengan keperluan industri pertanian negara daripada peringkat pembiakbakaan, pengeluaran sehingga peringkat pemasaran dan kepenggunaan hasilan pertanian.
“Dalam bidang pertanian, teknik nuklear dan isotop dapat digunakan dalam pelbagai kajian dan penyelidikan pengurusan sumber dan agroekosistem, agronomi, sivilkultur, baikbaka tanaman serta keselamatan dan ketulenan makanan, selain memberi data dan maklumat kajian dengan lebih terperinci yang mana tidak dapat dilakukan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Siti A’iasah berkata aktiviti yang dilaksanakan menerusi kerjasama tersebut adalah mengikut keutamaan keperluan negara dan industri berdasarkan kemudahan dan kepakaran teknologi nuklear untuk pertanian sedia ada.
Beliau berkata kepakaran DOA dalam menentukan skop dan fokus kajian kerjasama itu dapat memastikan output dan outcome memberi manfaat dan impak yang besar kepada industri pertanian negara khususnya kepada para petani.
— BERNAMA