
Laporan/foto: Muhammad Samsulkhair (Jempol)
JEMPOL, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Bagi melancarkan proses pemberian vaksin kepada masyarakat setempat terutama di kawasan pedalaman, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan mengambil inisiatif dengan mengubahsuai penggunaan bas pameran milik mereka menjadi tempat pemberian vaksin.
Menurut Pemangku Ketua Zon 3 Jempol Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Nazmi Halil, inisiatif menggunakan bas pameran bergerak adalah atas cadangan daripada Pengarah Jabatan Bomba Negeri Sembilan.
“Bas pameran digunakan bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang julung kali digunakan dapat berjalan lancar dan penggunaan bas pameran bergerak ini akan diteruskan di lokasi lain bergantung kepada permintaan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” ujarnya ketika Majlis Simbolik Penyerahan Bas Pameran Bomba di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Sekolah Kebangsaan Lui Selatan, di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Daerah Jempol merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Keselamatan Daerah Nawal Mohamed Amin merakam ucapan terima kasih kepada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Sembilan atas sumbangan bas bergerak sebagai PPV.
“Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) daerah telah merangka lebih daripada 30 program bagi pemberian vaksin di seluruh jempol, dan diharapkan dengan adanya bas bergerak ini dapat membantu untuk melaksanakan program pemberian vaksin dengan lebih mudah terutama di kawasan pedalaman,” katanya.
Tambah beliau pada masa sekarang di Daerah Jempol mencatatkan jumlah penerima vaksin sebanyak 56,427 (60.9%) penerima dos yang pertama manakala sebanyak 36,466 (39.3%) adalah penerima dos yang kedua.
“Dengan jumlah keseluruhan yang layak untuk di vaksin seramai 92,700 yang berumur 18 tahun ke atas dijangkakan menjelang Oktober akan mencapai 80 peratus imuniti kelompok,” katanya.
-FF