
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 31 Ogos (Malaysiaaktif) – Busana tradisional pelbagai kaum dan etnik yang dipakai petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UniKL, di sini menceriakan suasana Hari Kebangsaan.
Seorang petugas, Nurul Fatin Md Zan, 24, berkata beliau rasa bangga dan teruja kerana dapat menggayakan pakaian tradisional etnik Kadazan ketika bertugas di PPV semasa Hari Kebangsaan.

(Kanan) Nurul Fatin sedang melayan seorang penerima vaksin dengan mengenakan pakaian etnik Kadazan semasa bertugas di PPV UniKL hari ini.
“Pakaian ini sangat unik dan menarik perhatian orang ramai walaupun saya berasal dari Negeri Sembilan.
“Rasa sangat bertuah dan tidak sangka dapat memahat kenangan indah dalam hidup saya, bertugas di Hari Kebangsaan dengan memakai pakaian tradisional.
“Malah terdapat penerima vaksin yang minta untuk bergambar bersama kerana keunikannya, terasa seperti selebriti pula,” kata pelajar Tahun Akhir Kulliyah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.
Sependapat dengan beliau, Rahmat Aydil Ali Akhbar, 37, pula berkata busana yang digayakannya menggambarkan rakyat Malaysia yang kuat jati diri dan semangat patriotik.
“Suasana pandemik COVID-19 ketika ini menghalang kita untuk mengadakan sambutan Hari Kebangsaan seperti sebelum ini.
“Petugas PPV di sini sepakat untuk menggayakan pakaian tradisional ketika bertugas untuk menghidupkan lagi suasana sambutan Hari Kebangsaan.
“Kami rasa begitu bangga dan terharu menyambut kemerdekaan negara dalam suasana norma baharu,” katanya.
Mereka berkata demikian ketika ditemui sempena Program Merdeka@Komuniti Parlimen Gombak anjuran Pejabat Penerangan Daerah Gombak dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, hari ini.
Program ringkas serta mematuhi prosedur standard operasi (SOP) tersebut dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhamad Hilman Idham.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Gombak Khairul Shahrizal Ismail, berkata program Merdeka@Komuniti dilaksanakan di PPV untuk meraikan petugas dan sukarelawan sejak dibuka pada 29 Julai lalu.
“Antara aktivitinya adalah pertandingan busana merdeka, cabutan bertuah dan nyanyian lagu patriotik disamping hebahan ‘Info on Wheel’ (IOW).
“Paling istimewa semua petugas PPV ini memakai pakaian tradisional pelbagai kaum dan etnik yang menunjukkan perpaduan kaum tetap utuh di negara ini.
“Diharapkan petugas barisan hadapan ini terus komited melaksanakan tugas mereka demi mencapai imuniti kelompok seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
-RI