
ROH SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN | SEMANGAT KELUARGA MALAYSIA | HKHM 2021
Laporan/foto: Mohamad Zaidy
PUTRAJAYA, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Dua lagu baharu bertemakan semangat patriotik telah dicipta dan akan diperdengarkan buat kali pertama kepada umum semasa Sambutan Hari Kebangsaan 2021 Selasa ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Mohammed Mentek, berkata lagu bertajuk ‘Keluarga Malaysia’ dicipta oleh Tan Sri Annuar Musa dan lagu ‘Menang Bersama’ pula dicipta oleh Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Mokhzani Ismail.
“Lagu ‘Keluarga Malaysia’ yang dinyanyikan oleh artis Ara Johari, Masya Masyitah, Putra Muhammad dan Sufi Rashid, dicipta bagi menyahut aspirasi dan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai Keluarga Malaysia.
“Saya berharap kedua-dua lagu baharu ini dapat menyuntik dan menaikan semangat patiotisme kepada rakyat Malaysia yang masih berjuang dengan pandemik COVID-19,” katanya kepada media selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2021, di sini hari ini.
Mengenai persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2021, Mohammad berkata walaupun durasi persembahan fizikal itu hanya sekitar 50 minit namun ia dipenuhi dengan acara-acara yang menghiburkan.
“Antara acara yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara adalah persembahan drumline oleh Angkatan tentera Malaysia (ATM), kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pancaragam gabungan anggota uniform dan persembahan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Kita berdoa semoga cuaca pada 31 Ogos 2021 menyebelahi kita, sebab kita cuma ade empat persembahan sahaja dan acara bermula pada pukul 8 pagi dan rakyat Malaysia boleh menonton dari rumah masing-masing bermula dari 7.30 pagi di saluran TV1 RTM,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia berkata beliau berpuas hati dengan perjalanan raptai penuh yang dibuat pada hari ini.
-ZS-