
Laporan/foto: Haniza Harun/Norfazlinda Alimad (Melaka)
MELAKA, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Simpati dengan nasib segelitir pihak yang hilang pendapatan berikutan pandemik COVID-19, membawa kepada tercetusnya idea seorang anak muda bersama-sama rakannya untuk mewujudkan “GobokJeki” bagi membantu mereka yang dalam kesusahan meneruskan kehidupan.
Menurut Norfazlinda Alimad, 36, “GobokJeki” merupakan singkatan daripada perkataan Gerobok Rezeki.
“Pada mulanya saya menggunakan dana sendiri bagi merealisasikan program itu sebelum menerima bantuan kewangan dan barangan melalui penyumbang-penyumbang yang turut ingin membantu meringankan beban mereka yang terkesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami hanya menggunakan platform Whatsapp untuk orang ramai memohon bantuan, sekiranya bantuan diluluskan nama dan alamat pemohon akan diminta sebelum kami menghantar barangan tersebut atau pemohon datang mengambil sendiri barangan tersebut,” ujar Norfazlinda ketika dihubungi, semalam.
Tambah Norfazlinda, mereka tidak akan mengambil sebarang gambar penerima bantuan mahupun membuat soal selidik kepada mereka yang meminta bantuan.
“Program Gobokjeki ini diharap akan dapat membantu mereka yang memerlukan dan kami akan meneruskan program ini selagi mereka menerima sumbangan orang ramai,’’ katanya.
-FF