Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Hantar Vaksin Guna Helikopter

By 13 Ogos 2021Ogos 15th, 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rose Rasidi (Cameron Highlands)/JAKOA

CAMERON HIGHLANDS, 13 Ogos (Malaysiaaktif) – Keterujaan penduduk Perkampungan Orang Asli POS Lemoi yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar Tanah Rata jelas terpancar apabila vaksin jenis Pfizer BioNTech selamat tiba di kampung mereka dengan menggunakan helikopter.

Menurut Pegawai Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Cameron Highlands Amirul Azwan Zakaria, POS Lemoi mempunyai tiga buah kampung iaitu Kampung Lemoi, Kampung Telimau dan Kampung Chenan Cherah yang mana lokasi perkampungan ini sangat jauh dan mencabar dengan keadaan muka buminya yang agak berbukit-bukau.

“Pihak JAKOA bersama-sama dengan Pejabat Kesihatan serta Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Cameron Highlands mengambil inisiatif menyalurkan vaksin kepada para penduduk melalui laluan udara dengan menggunakan helikopter agar vaksin sampai dengan selamat.

“Penduduk di sini memberikan kerjasama yang baik untuk divaksin kerana mereka mempunyai kesedaran tentang bahayanya wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Balai Kesihatan Lemoi, di sini semalam.

Penduduk POS Lemoi memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan proses vaksinasi.

Penduduk POS Lemoi memberikan kerjasama yang baik dalam menjayakan proses vaksinasi.

Ketua PPV Cameron Highlands Doktor Yu Kong Siong berkata program bantuan bagi imunisasi vaksinasi ini memerlukan bantuan helikopter kerana vaksin jenis Pfizer memerlukan tahap suhu yang optimum dan perlu tiba dalam masa 15 hingga 20 minit.

“Penggunaan helikopter sangat efisien kerana lokasi perkampungan tersebut agak jauh dan ekstrem.

“Setakat ini, seramai 240 orang penduduk telah menerima suntikan vaksin bagi kawasan POS Lemoi,” ujarnya.

Tambahnya, para penduduk memberikan kerjasama yang baik semasa proses pemberian vaksin ini dilaksanakan dengan bantuan Tok Batin.

“Penggunaan helikopter juga memudahkan proses penghantaran dan penerimaan vaksin kepada para penduduk Orang Asli dan sekali gus membantu mempercepatkan proses untuk mencapai imuniti kelompok kepada seluruh penduduk Cameron Highlands,” jelasnya.

-AH-

Tinggalkan komen anda