
Laporan/foto: Noorshazana Shaadan/Leazmi Leman (Port Dickson)
PORT DICKSON, 30 Ogos (Malaysiaaktif) – Hanya 2.2 peratus penjawat awam di seluruh negara yang tidak mempunyai rekod daftar vaksin.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman, berkata melalui semakan silang data penjawat awam yang berjumlah 1,048,566 dengan MySejahtera, sebanyak 74 peratus telah menerima dua dos dan 17.8 peratus pula telah menerima satu dos suntikan vaksin sehingga 12 Ogos.
“Daripada semakan silang antara MySejahtera dan data penjawat awam, cuma 2.2 peratus sahaja penjawat awam yang tidak dapat dikesan dan ada separuh lagi tidak dapat disuntik atas faktor kesihatan, mengandung dan sebagainya.
“Kita telah meminta pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menyegerakan 30,000 penjawat awam yang telah mendaftar vaksin namun masih belum mendapatkan tarikh janji temu,” katanya selepas menghadiri Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Taman Siliau Jaya, di sini semalam.
Tambahnya, pihaknya akan memastikan peningkatan peratusan bagi penjawat awam yang lengkap menerima vaksin bagi pembukaan lebih banyak sektor perkhidmatan awam kelak dan bagi peringkat kerajaan negeri pula, 67.6 peratus daripada 118,000 penjawat awam negeri telah lengkap dua dos dan 21.1 peratus bagi satu dos.
“Sebanyak 2.7 peratus telah mendaftar dan sudah mendapat tarikh janji temu, 3.2 peratus masih belum mempunyai janji temu suntikan vaksin manakal 5.3 peratus penjawat awam negeri tidak mempunyai sebarang rekod pendaftaran vaksin melalui MySejahtera,” katanya lagi.
Sementara itu, Mohd. Khairul Adib ketika mengulas mengenai gangguan perkhidmatan awam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkata, sememangnya terdapat sedikit gangguan perkhidmatan kerajaan namun, semua penjawat awam dinasihatkan supaya terus mengekalkan produktiviti dalam menjalankan tugas yang diberikan walaupun ketika bekerja dari rumah.
-FF