
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Berbekalkan pengalaman luas dalam industri pelancongan serta semangat cintakan kampung halaman, seorang usahawan tempatan, Dr. Musa Ibrahim, 43, telah mengambil inisiatif membangunkan sebuah pusat penginapan berkonsepkan eko pelancongan di Kampung Bukit Choras, di sini.
Dr. Musa yang berasal dari kampung tersebut memulakan pembinaan Habibi Chalet pada Januari 2024 dengan modal keseluruhan sebanyak RM400 ribu hasil gabungan simpanan sendiri dan pinjaman dari bank tempatan.

Suasana sekitar kawasan Habibi Chalet lengkap dengan kolam mandi dewasa dan kanak-kanak.
Projek yang mempunyai 10 unit chalet ini telah mula beroperasi secara rasmi pada 1 April 2025 turut menyediakan peluang pekerjaan kepada tiga orang penduduk tempatan.
Beliau ketika ditemui semalam, berkata minat untuk membangunkan chalet ini tercetus daripada pengalamannya sebagai pengusaha sebuah syarikat pelancongan berdaftar yang telah menjelajah ke seluruh dunia, di samping pengalaman hidup selama 25 tahun sebagai anak perantau dan bekerja di Melaka, sebuah negeri pelancongan.
“Saya mempunyai syarikat pelancongan sendiri dan telah banyak mengembara ke pelbagai negara dan dengan pengalaman itu, tercetus idea untuk menghasilkan sesuatu yang unik di kampung kelahiran saya.
“Selama 25 tahun menetap di Melaka, saya banyak belajar tentang pembangunan pelancongan di sana dan kini saya membawa hasil pengalaman itu pulang ke kampung halaman untuk membuka chalet sendiri,” jelasnya.
Habibi Chalet menawarkan penginapan selesa dengan kadar harga berpatutan iaitu RM150 untuk satu malam pada hari biasa manakala RM180 untuk satu malam pada hari minggu, cuti umum serta cuti sekolah.

Ruang makan yang selesa disediakan untuk para pengunjung.
Promosi penginapan ini turut giat dijalankan melalui media sosial, terutamanya menerusi platform TikTok di bawah nama Habibi Chalet bagi menarik kunjungan pelancong dari seluruh negara.
Dr. Musa menyimpan harapan besar agar chalet ini menjadi pencetus kepada pembangunan pelancongan setempat yang mampan.
“Saya ingin melihat Kampung Bukit Choras dikenali sebagai sebuah destinasi pelancongan berkonsepkan eko yang terkenal suatu hari nanti.
“Saya percaya dengan sokongan komuniti dan pihak berkuasa, kampung ini boleh berkembang menjadi satu lokasi tarikan utama di negeri Kedah,” ujarnya penuh semangat.
Usaha Dr. Musa bukan sahaja membuktikan keberanian anak muda untuk melabur di kampung halaman malah memperlihatkan potensi kawasan luar bandar dalam menjana ekonomi melalui sektor pelancongan berasaskan komuniti.
-ZS-





