
Laporan/foto: Muhammad Ikhmal Rauff Ghazali (WPKL)
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Generasi pada masa kini perlu sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan bekas perajurit yang sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan keamanan negara.
Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Setiawangsa Briged Jeneral Datuk Pahlawan Shamsudin Abbas, berkata semangat juang yang ditunjukkan perajurit terdahulu juga harus dijadikan contoh dalam memupuk semangat patriotik.
“Orang ramai sewajarnya menghargai dan menyanjung tinggi semangat bekas perajurit yang telah menumpahkan keringat dan darah bagi mempertahankan negara daripada diceroboh oleh pihak musuh.
“Kami berharap agar generasi seterusnya akan mengambil iktibar daripada segala apa yang telah berlaku pada masa lalu terutamanya perkara yang tertulis dalam lipatan sejarah agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama,” katanya.

Acara mengibarkan Jalur Gemilang dan nyanyian lagu patriotik oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Merdeka@Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (JaPen WPKLP) di Laman Bestari Setiawangsa, di sini hari ini.
Pada program tersebut, Pengarah JaPen WPKLP Lim Ann Teck, turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada PVATM Setiawangsa sebagai simbolik menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.
Dalam pada itu, Shamsudin turut menggesa agar orang ramai terus menjaga keharmonian negara dengan mengamalkan sikap bertolak ansur dan tidak menimbulkan sebarang bentuk provokasi.
-ZS-