
Laporan/foto: Mohamad Zaidy (Putrajaya)/JaPen
PUTRAJAYA, 23 Ogos (Malaysiaaktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, di sini hari ini.
Datuk Seri Ismail Sabri tiba di Bangunan Putra Perdana pada kira-kira 8.25 pagi dengan disambut oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Jamil Rakon.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.
Ismail Sabri yang kelihatan bersemangat kemudian mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 5 bangunan tersebut.
Ahli Parlimen Bera itu kemudiannya mengaminkan bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Integriti JPM Muhd Redza Ahmad, sejurus selesai beliau dibawa untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.
Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia, pada Sabtu lalu setelah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan perlantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (20)(a) Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa 21 Ogos 2021.
Selepas melapor diri di Perdana Putra, Ismail Sabri hari ini dijadualkan mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Kedah bagi meninjau keadaan kawasan yang terjejas akibat banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada Rabu lepas.
Semalam, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ dengan mengajak rakyat pelbagai agama, bangsa dan kaum untuk bersama-sama memulihkan semula keadaan negara.
-ZS-